USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

REKA 2016: BENTANG PERKEMBANGAN BIDANG MEDIA KREATIF, REKABENTUK DAN TEKNOLOGI

USM, PULAU PINANG, 27 September 2016 – Persidangan Antarabangsa Kreatif Media, Rekabentuk dan Teknologi 2016 (REKA 2016) anjuran Pusat Pengajian Seni (PPS), Universiti Sains Malaysia (USM) menghimpunkan para ilmuwan bagi membentangkan pelbagai kertas kerja dan perkembangan dalam bidang berkaitan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, REKA 2016 adalah satu persidangan yang perlu bagi membincangkan tindakan yang perlu diambil yang akan membolehkan tenaga pengajar untuk mencapai ke tahap antarabangsa dan yang lebih tinggi.

“Saya berharap juga idea dan pengetahuan hasil dari semua pembentangan kertas kerja akan dapat membantu meningkatkan penyelidikan serta memberikan nafas baru kepada industri kreatif di dalam dan luar negara,” kata Adnan mewakili Naib Canselor USM merasmikan REKA 2016.

“Persidangan kali ini mengumpulkan 67 kertas kerja dengan kesemuanya mencapai standard atau piawaian yang dikehendaki, dan saya berharap pada akhir tahun ini, REKA akan mempunyai jurnal atas talian serta dapat menerbitkan lagi dua naskhah buku di samping proceedings yang telah diterbitkan,” kata pengerusi persidangan, Dr. Jasni Dolah.

REKA 2016 adalah persidangan kali kedua dianjurkan oleh PPS dan disertai oleh lebih 200 orang peserta dari dalam dan luar negara termasuk dari Thailand, Indonesia dan Arab Saudi.

Ucaptama disampaikan oleh Pengarah Imagineering Institute, Iskandar Malaysia merangkap Chair Professor of Pervasive Computing, City University London, Profesor Dr. Adrian David Cheok.

Yang turut hadir ialah Dekan PPS USM Profesor Madya Mohamad Omar Bidin.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1082

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024