USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HUBUNGAN MALAYSIA PAKISTAN PERLU DIPERTINGKAT

IMG 1731 

USM, PULAU PINANG, 22 September 2016 - Hubungan antara Pakistan dan Malaysia terutamanya dalam pendidikan tinggi wajar dipertingkatkan lagi dalam memanfaatkan kekuatan yang ada dengan melibatkan pelbagai bidang kepakaran.

Berucap mengalu-alukan delegasi seramai 30 orang yang terdiri daripada pegawai kerajaan dan pensyarah-pensyarah institusi pendidikan tinggi Pakistan di sini, Naib Canselor  Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata,  USM sudah lama menjalinkan hubungan  rapat dengan institusi pendidikan tinggi  Pakistan melalui jaringan akademik dan penyelidikan terutama dalam bidang Arkeologi yang  berjaya membuat beberapa penemuan penting.

IMG 1734

"USM juga menghantar seorang calon ijazah doktor falsafah untuk melanjutkan pengajian di University of Peshawar, Pakistan yang kini telah kembali berkhidmat sebagai pensyarah di USM," tambahnya.

“Saya percaya, kita boleh menerokai kerjasama yang lebih banyak pada masa hadapan dengan potensi besar yang ada, bukan sahaja dalam bidang Arkeologi malah juga bidang-bidang Sains dan Teknologi yang lain,” kata Omar.

Wakil delegasi Pakistan, Maj (R) Tariq Hayat Malik berkata, delegasi yang sedang berada di Malaysia ini  bertujuan mengukuhkan lagi hubungan Malaysia dan Pakistan dengan USM menjadi tempat yang wajib dilawati.

IMG 1737

IMG 1747

"Keindahan budaya dan adat resam masyarakat Malaysia serta sejarahnya banyak berkaitan dengan negara Pakistan di samping terdapat juga persamaan dari segi perkataan dalam bahasa Melayu dan Urdu," katanya.

Tambahnya, pertemuan ini juga memberi peluang untuk kedua-dua pihak mengupas  persamaan dan hubung kait budaya, ekonomi dan sejarah kedua-dua negara melalui pembentangan kertas kerja daripada  pembentang-pembentang dari Pakistan.

IMG 1746

IMG 1752

Pengarah  Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin pula berkata, lawatan delegasi Pakistan ini akan memberi manfaat khususnya kepada USM dalam mengorak langkah memperluaskan hubungan antarabangsa dengan negara Pakistan dalam pelbagai aspek pendidikan tinggi.

"Kita telah mulakan penyelidikan arkeologi bersama-sama University of Peshawar sejak dari tahun 2013 lagi dan banyak penemuan yang ditemui hasil ekskavasi yang dibuat sehingga membolehkan USM menghantar satu-satunya pelajar dari Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di sana," jelasnya lagi.

Harapannya, pihak Pakistan akan terus menjalinkan hubungan bersama-sama USM supaya bidang penyelidikan dan akademik dapat diperkukuhkan pada masa akan datang.

IMG 1776

IMG 1792

Yang hadir sama dalam majlis ini Konsul Jeneral Kehormat Pakistan di Pulau Pinang, Dato’ Haji Abdul Rafique bin Abdul Karim.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1302

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024