NUR AZZALIA TERPILIH WAKILI MALAYSIA KE 3MT ASIA PASIFIK
PULAU PINANG, 20 September 2016 – Calon Ph.D Universiti Sains Malaysia (USM), Nur Azzalia Kamarulzaman terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan 3 Minutes Thesis (3MT) 2016 di peringkat Asia Pasifik yang akan berlangsung di The University of Queesland, Australia pada 30 September ini.
Nur Azzalia yang menjalankan penyelidikan mengenai kanser darah atau leukemia dengan tesis bertajuk B-Carboline: A New Reality for Leukemia adalah pelajar di Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan dan juga telah memenangi 3MT peringkat kebangsaan yang berlangsung pada Mei lalu.
“Saya rasa bersyukur kerana terpilih mewakili Malaysia dan sekaligus membawa nama USM di peringkat Asia Pasifik dan saya berharap semua warga universiti untuk mendoakan kejayaan saya di pertandingan itu nanti,” kata Azzalia yang akan bersama-sama dua orang lagi peserta dari Malaysia ke Australia nanti.
3MT 2016 adalah pertandingan mencungkil bakat calon Ph.D untuk membentangkan tesis secara menyeluruh hanya dalam tempoh masa 3 minit.
Pemenang pertandingan 3MT 2016 ini akan membawa pulang geran penyelidikan berjumlah $5000 dan juga dana untuk penyertaan di 2016 Falling Walls Lab Final and Conference di Berlin.
Semua warga USM mendoakan kejayaan Nur Azzalia untuk mengharumkan nama USM sekaligus nama Malaysia di mata dunia.
Teks: Nor Rafizah Md Zain
- Created on .
- Hits: 1970