USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DUA SAINTIS WANITA USM RANGKUL ANUGERAH L'OREAL-UNESCO

14322430 1167350443325987 4370154317329097397 n

PULAU PINANG, 20 Sept. 2016 – Dua saintis wanita muda Universiti Sains Malaysia (USM) mengharumkan nama Universiti, sekaligus mencatat pencapaian cemerlang peribadi apabila terpilih merangkul Anugerah L'Oréal-UNESCO yang diwujudkan khas untuk menghargai sumbangan besar penyelidik wanita dalam pembangunan bidang sains di Malaysia.

Dua penerima berkenaan ialah pensyarah dari Pusat Pengajian (PP) Kejuruteraan Awam, Dr. Fatehah Mohd Omar dan pensyarah di PP Sains Kajihayat, Dr. Nethia Mohana.

Fatehah terpilih melalui penyelidikan beliau bertajuk “The Importance of Determining Zeta Potential and Hydrodynamic Diameter to Characterize Suspended Solids in Palm Oil Mill Effluent (POME)” manakala Nethia dipilih melalui usaha komitednya dalam penyelidikan berkaitan kanser di negara ini.

Fatehah yang ditemui menzahirkan rasa syukur dan teruja kerana tersenarai antara penerima anugerah yang diberikan kepada penyelidik atau saintis wanita di Malaysia yang berumur 40 tahun ke bawah dan memegang Ph.D atau sedang menjalankan kajian dalam pelbagai bidang sains.

“Kali pertama saya membaca tentang anugerah ini, enam tahun yang lalu dan sejak dari hari itu saya telah menanam hasrat untuk mencuba dengan bekerja keras untuk mencapainya”, katanya yang juga anak sulung kepada pasangan ahli akademik USM,  Profesor Dr. Ir. Mohd Omar Ab Kadir dan Profesor Dr. Nik Norulaini Nik Ab Rahman.

Dalam pada itu, Nethia pula berkata, USM telah banyak menyokong usaha penyelidikannya secara berterusan serta mewujudkan persekitaran yang kondusif sehingga membolehkan lahirnya ramai penyelidik bertaraf dunia.

“Geran yang diterima ini akan saya gunakan dalam melakukan penyelidikan dalam bidang pencegahan penyakit kanser yang telah saya jalankan tiga tahun yang lalu,” katanya yang juga antara tiga penerima geran penyelidikan ‘MAKNA Cancer Research Award 2015’.

Kedua-dua saintis cemerlang USM itu menerima geran penyelidikan daripada  ‘L'oreal-UNESCO for Women in Science National Fellowship 2016' yang bernilai RM30,000 yang akan disampaikan dalam satu majlis khas di ibu negara Oktober depan.

L'oreal mengiktiraf penyelidik muda wanita dalam meningkatkan penyelidikan di negara ini dalam pelbagai bidang kajian dan sehingga kini, anugerah yang mula diperkenalkan pada 2006 itu telah dinobatkan kepada 32 orang penyelidik wanita cemerlang di Malaysia

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1038

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024