USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEMINAR ISU AKIDAH DI MEDIA SOSIAL PERKASA PELAJAR DENGAN MAKLUMAT SEMASA

untitledhbhu

KUBANG KERIAN, 17 September 2016 - Persatuan Rakan Masjid, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan dan Bahagian Penyelidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) menganjurkan Seminar Isu-Isu Semasa Akidah Di Media Sosial Peringkat Institusi Pengajian Tinggi 2016 di sini untuk memperjelas tentang akidah ahli Sunnah Wal Jama’ah kepada pelajar agar tidak terpengaruh dengan dakyah di media sosial.

Seminar ini disertai kira-kira 500 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa IPT seluruh negeri Kelantan.

Melalui program ini, peserta diberi pendedahan tentang penyelewengan akidah dari golongan Syiah, Wahabi, ajaran sesat, ekstremis agama dan lain-lain serta serangan liberalisme, pluralisme, sekularisme dan lain-lain dari segi perancangan dan gerakan mencemari kesucian Islam dalam usaha menangani dan membanteras dari merebak.

Perasmian dilakukan oleh Timbalan Pengarah Operasi JAHEAIK, Dr. Hasnan Ramli yang menyatakan pihaknya sentiasa peka mengambil berat tentang soal serangan akidah yang memberi kesan yang negatif kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat negara ini.

"Penyimpangan akidah seumpama ini akan menyebabkan umat Islam hidup di dalam suasana kacau bilau, pecah belah dan bercakaran sesama sendiri yang akhirnya akan memberi peluang kepada musuh-musuh Islam menghancurkan keamanan dan kestabilan umat Islam di negara ini," kata Hasnan.

Mufti Negeri Kelantan Sahibus Samahah Dato’ Haji Shukri Bin Mohamad pula berharap agar program itu memberi kesedaran tentang kepentingan mengukuhkan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah di Malaysia.

"Selain itu juga, program yang mensasarkan penglibatan pelajar Islam untuk menyedarkan anak-anak muda  bahawa penyebaran doktrin ajaran menyeleweng mampu mengancam keselamatan dan keamanan negara seperti Islamic State (IS) dan Salafi Jihadi sekaligus memberi kefahaman terhadap kepentingan menghayati pendekatan nilai-nilai wasatiyyah dalam kalangan umat Islam di Malaysia," jelas Shukri.

Yang turut hadir ialah Penolong Naib Canselor/Pengarah Kampus USM Kampus Kesihatan Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed dan Timbalan Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Hafiz Assad Zakaria.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: Mohd Ridzuwan Ramly

  • Created on .
  • Hits: 1426

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024