USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RUHANI ALI TERIMA DARJAH SULTAN AHMAD SHAH PAHANG (D.S.A.P.)

untitledghity

PAHANG, 14 September 2016 - Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datin Ruhani Ali hari ini dikurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (D.S.A.P.) yang membawa gelaran Dato'.

Ruhani menzahirkan rasa kesyukuran di atas kurniaan ini dan istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat ini disempurnakan di Istana Pahang Persiaran Raja Chulan Kuala Lumpur oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Darjah Kebesaran Peringkat Kedua yang membawa gelaran Dato’ ini adalah dicadangkan bagi kurniaan terutamanya kepada mereka yang telah memberikan perkhidmatan terpuji dan cemerlang kepada Raja Pemerintah, Negeri Pahang Darul Makmur dan rakyat keseluruhannya.

Pengurniaan ini biasanya diberikan kepada Pegawai Kerajaan Gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A, B dan C ke atas atau yang setaraf dengannya dalam Perkhidmatan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun atau Penguasa-Penguasa Tempatan atau kepada sesiapa sahaja yang difikirkan layak menerimanya.

Ruhani Ali memegang BBA dan MBA daripada Texas Tech University dan PhD daripada USM dan beliau pernah memegang jawatan pengerusi rancangan kewangan dan pemangku Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Penyelidikan di Pusat Pengajian Pengurusan USM.

Beliau juga adalah pengasas dan ketua pengarang (Editor-In-Chief) di Asian Academy of Management Journal of Accounting and Finance (AAMJAF) sejak 2005 dan sebagai seorang penyelidik yang aktif, beliau adalah penerima Fundamental Research Grant (FRGS) dan Geran Universiti Penyelidikan (RU) serta merupakan peserta dan pembentang aktif di persidangan-persidangan seperti Persidangan Tahunan Pertubuhan Pengurusan Kewangan (Financial Management Association Annual Conference), Persidangan Pacific Basin Finance, dan Persidangan Pertubuhan Kewangan Asia.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 2342

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024