USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR ANTARABANGASA TERUJA SAMBUNG PENGAJIAN DI USM

pelajar antarabangsa DSC0774

NIBONG TEBAL, 30 Ogos 2016 – Tiga daripada lima pelajar antarabangsa yang mendaftar diri sebagai pelajar kejuruteraan teruja untuk menyambung pengajian di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini semalam.

Tiga pelajar itu, Abdelrahman Abdelaziz, 21, Abdelrahman Tarek Ismail, 18 dan Osama Mohamned Ajlan, 21 antara 22 pelajar antarabangsa yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) di kampus ini.

Abdelrahman Abdelaziz dan Abdelrahman Tarek Ismail yang berasal dari Egypt itu memilih menyambung pengajian dalam bidang yang sama iaitu bidang kejuruteraan aeroangkasa manakala Osama Mohamned Ajlan berasal dari Yemen, bidang kejuruteraan mekatronik.

Menurut Abdelrahman Abdelaziz, impiannya untuk menyambung pengajian dalam bidang aeroangkasa telah bermula sejak beliau masih berada di zaman kanak-kanak lagi.

“Saya telah menamatkan pengajian di Cairo University, Egypt selama dua tahun sebelum ini dan telah menanam hasrat untuk melengkapkan pengajian ini di peringkat yang lebih tinggi di luar dari negara saya dan saya memilih USM sebagai destinasi tersebut,” katanya.

Tambahnya, beliau telah pun datang melawat Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM sebelum ini dan mendapati ia memenuhi keperluan bagi seseorang pelajar dalam mendalami ilmu kejuruteraan aeroangkasa.

“Saya lihat, kemudahan dan kaedah pengajian dan pembelajaran di sini, cukup memuaskan dan mempunyai teknologi yang tinggi berbanding dengan Universiti lain yang pernah saya kunjungi,” katanya lagi.

Berlainan pula dengan rakan beliau, Abdelrahman Tarek Ismail dengan hanya membuat sedikit penyelidikan melalui internet dan pertanyaan kepada guru-guru mendapati bidang kejuruteraan di USM berada di tahap 100 terbaik di dunia. 

“Saya sangat yakin saya telah membuat pilihan yang tepat kerana tidak semua Universiti mampu untuk mengajar bidang berteknologi tinggi seperti aeroangkasa ini,” kata Abdelrahman Tarek Ismail.

Bagi Osama, beliau telah datang seorang diri ke Malaysia sejak lapan bulan yang lalu dengan menyewa bilik di Kuala Lumpur untuk mengetahui dan mendalami cara hidup masyarakat kita di sini.

Katanya, beliau sangat tertarik dengan keamanan dan keramahan penduduk negara ini yang berbilang kaum dan dapat hidup sejahtera serta harmoni.

“Sebenarnya bidang mekatronik telah lama bertapak di USM ini iaitu sejak tahun 2002 lagi, jadi ini telah membuktikan bahawa pasti pengajian dan pembelajarannya lebih baik berbanding negara saya yang baru sahaja berjinak-jinak untuk menawarkan pengajian dalam bidang ini,” kata pelajar bersusuk tubuh halus itu.

“Malaysia adalah sebuah negara yang sesuai untuk dijadikan sebagai destinasi pembelajaran dalam banyak bidang, justeru itu saya amat bersyukur dan merasa bangga kerana dapat melanjutkan pengajian saya di sini,” tambahnya lagi.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin

  • Created on .
  • Hits: 829

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024