USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FIBROID BOLEH DIKESAN DENGAN RAWATAN EMBOLISASI FIBROID DAN KAEDAH HIFU DI HOSPITAL USM

untitledukb

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 September 2016 – Fibroid adalah sejenis ketumbuhan daging yang berasal dari otot rahim (myometrium) yang sering melanda wanita. Fibroid bukan kanser.

Perkara ini dinyatakan oleh Pensyarah Perubatan, Jabatan Radiologi, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr. Juhara Haron ketika ditemui di sini hari ini.

"Fibroid atau ketumbuhan dalam rahim merupakan masalah yang biasa dalam kalangan wanita yang masih subur (fertile).

“Dianggarkan sekitar 4  hingga 18 peratus wanita dalam lingkungan umur 40  hingga 49 tahun menghidap fibroid dan jumlah kes berbeza mengikut negara," kata Juhara.

Di Amerika Syarikat, masalah ini adalah salah satu petanda utama pembuangan rahim (hysterectomy).

Kebanyakan fibroid membesar ketika mengandung dan mengecut selepas bersalin menunjukkan perkaitannya dengan hormon serta ia tidak mendatangkan masalah jika kecil dan tiada gejala yang mengganggu kegiatan harian.

Namun sesetengah fibroid boleh memberi masalah yang perlu dirawat.

Menurut Juhara,  gejala fibroid  termasuklah pendarahan haid yang banyak, haid berpanjangan, senggugut dan jika saiznya besar, pesakit akan mengalami gejala akibat dari pembengkakan rahim seperti senak, sakit belakang dan gangguan kepada pembuangan air kencing.

“Fibroid boleh dikesan melalui pelbagai cara. Jika saiznya besar, ianya boleh dirasa melalui pemeriksaan abdomen dan pemeriksaan ultrabunyi (ultrasound) mampu mengesahkan kewujudan fibroid.

"Pemeriksaan ini mampu memberi maklumat mengenai saiz dan kedudukan fibroid kerana ianya mudah dilakukan dan menjadi pemeriksaan pilihan bagi mengawasi perkembangan fibroid semasa rawatan," katanya.

Jelasnya lagi, fibroid yang mendatangkan masalah haid, rawatan pertama yang ditawarkan ialah ubat hormon dan jika rawatan ini gagal memberi kesan, rawatan seterusnya ialah pembuangan ketumbuhan melalui kaedah pembedahan.

Dengan berkembangnya teknologi perubatan, berbagai-bagai kaedah rawatan baharu telah diterokai dan antara rawatan yang alternatif kepada pembedahan fibroid ialah embolisasi fibroid dan yang terkini ialah menggunakan kaedah ‘Tumpuan Ultrabunyi Berkeamatan Tinggi’ atau ‘High Intensity Focused Ultrasound’ (HIFU).

“Rawatan embolisasi fibroid ialah satu prosedur dengan salur darah ke fibroid disumbat menggunakan manik khas. Kaedah ini merupakan pilihan utama bagi pesakit yang mengalami pendarahan yang banyak dan berterusan apabila kaedah hormon gagal mengawal gejala tersebut dan ianya hanya ditawarkan kepada pesakit yang tidak berhajat untuk mengandung lagi.

“Rawatan kaedah HIFU merupakan cara termoden rawatan fibroid dan HUSM merupakan satu-satunya hospital yang menawarkan perkhidmatan ini di negeri Pantai Timur,” ujarnya lagi.

Juhara berkata, perkhidmatan ini ditawarkan sejak tahun 2011 dan kebanyakannya adalah kes fibroid bersaiz besar dan sebelum rawatan dijalankan, pesakit perlu diperiksa oleh pakar perbidanan dan sakit puan.

“Saringan ‘Magnetic Resonance Imaging’ (MRI) perlu dibuat bagi memastikan jenis fibroid yang sesuai bagi rawatan tersebut. Aspek yang dinilai di dalam MRI ialah kedudukan fibroid, saiz dan jenisnya (berdasarkan jenis Funaki).

“Fibroid yang paling sesuai untuk rawatan ini ialah Funaki satu dan dua manakala tidak bagi Funaki tiga. Aspek lain yang dinilai adalah jarak fibroid dari kulit dan kehadiran organ lain yang menghalang laluan ultrabunyi seperti usus dan bagi pesakit yang mempunyai parut dari pembedahan caesarian, langkah berjaga-jaga perlu diambil supaya ianya tidak berada di laluan ultrabunyi,” jelasnya.

Teks/Foto: Wan Salizawati Wan Ismail

  • Created on .
  • Hits: 5187

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024