USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR DR. BADARUDDIN MOHAMED TERIMA ANUGERAH TERTINGGI USSH, VIETNAM

IMG 0770

USM, PULAU PINANG, 7 September 2016 - Pakar Perancangan dan Pembangunan Pelancongan dari Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Badaruddin Mohamed hari ini menerima Anugerah Pingat Merit daripada University of Social Sciences and Humanities (USSH), Vietnam atas sumbangan yang sangat signifikan dalam bidang pembangunan bandar dan pelancongan serta penglibatan akademik di negara Vietnam.

Beliau yang ditemui menzahirkan rasa bersyukur dan teruja kerana tersenarai antara penerima anugerah tertinggi yang diberikan kepada pakar-pakar dalam bidang tertentu yang telah banyak menyumbang terhadap pembangunan USSH khususnya dan negara Vietnam amnya.

IMG 0827

IMG 0839

“Saya terlibat bersama-sama USSH kira-kira lapan tahun yang lalu dengan tertubuhnya International Academic Consortium For Sustainable Cities (IACSC) dan daripada persidangan tersebut banyak aktiviti yang dilakukan misalnya perkongsian pembangunan kluster penyelidikan dalam pelan pembangunan bandar dan pelancongan,” katanya.

Tambahnya, pengiktirafan yang diberikan ini juga merupakan suatu titik permulaan kerjasama di antara USM dan USSH dalam membina jaringan pendidikan secara bersama.

“USSH berminat menjadikan USM sebagai satu model pembangunan akademik dengan menghantar kakitangan  akademik mereka untuk menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah di USM kelak,” jelas Badaruddin selepas Majlis Penyampaian Pingat Merit oleh wakil Presiden USSH, Profesor Dr. Nguyen Minh Hoa.

IMG 0810

IMG 0832

Sementara itu, Nguyen berkata, anugerah yang diberikan ini merupakan suatu penghargaan universiti terhadap usaha-usaha beliau dalam libatsama pembangunan bandar di Vietnam selain penglibatannya di universiti.

“Beliau juga telah banyak memberi pendedahan tentang budaya dan agama Islam di Malaysia melalui pembentangan kertas kerja di persidangan-persidangan yang dihadirinya di Vietnam dan pengajarannya kepada pelajar USSH yang sekaligus dapat memberi pengetahuan kepada masyarakat di Vietnam yang masih kurang memahami budaya masyarakat Malaysia,” tambahnya lagi.

Pakar Pengurusan Sumber Air dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Profesor Dr. Chan Ngai Weng  menerima pengiktirafan yang sama pada April lepas atas sumbangannya dalam bidang  pengurusan alam sekitar terutamanya sumber air dan pengurusan banjir.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 2397

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024