USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SDH HUSM BANTU LANCARKAN PROSES PEPERIKSAAN UPSR

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 September 2016 – Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula Isnin lalu membuatkan pelajar dan ibu bapa terus membuat persediaan yang rapi bagi menghadapinya.

Sekolah Dalam Hospital (SDH), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) turut membuat persediaan bagi menerima dan memberi sokongan kepada tujuh calon pelajar UPSR 2016 yang mengalami pelbagai komplikasi kesihatan disebabkan pelbagai punca. 

Namun, kegigihan serta semangat pelajar amatlah dikagumi kerana terus berjuang untuk menempa kejayaan walaupun dalam keadaan tidak sihat.

Penyelia SDH HUSM, Teo Seng Hue ketika ditemui berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memastikan setiap kanak-kanak yang menjadi pesakit di Hospital USM mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tidak kira di mana mereka bersekolah sebelum ini.

“Sejak ditubuhkan pada 18 September 2012, SDH HUSM bersedia untuk menyediakan pendidikan yang formal dan berstruktur dalam persekitaran yang kondusif secara santai (fun learning) bagi murid yang sedang dirawat di hospital.

“Selain itu juga, objektif SDH ditubuhkan ialah untuk menyokong dan memberi rangsangan kepada murid untuk meneruskan pembelajaran supaya tidak tercicir dalam pelajaran selain turut menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada semua peringkat umur kanak-kanak yang bersekolah tanpa batasan tempat dan keadaan serta menyediakan pendidikan di hospital bagi murid sakit melalui pelbagai pendekatan sebagai satu bentuk terapi,” jelasnya.

Menurut Azman Ibrahim, Ketua Pengawas Peperiksaan,  Kementerian Pelajaran juga tidak ketinggalan untuk membantu para pelajar sekolah di Malaysia bagi mendapatkan akses kepada sistem pembelajaran termasuk para pelajar yang menduduki peperiksaan di dalam wad.

Salah seorang calon UPSR, Alief Irfan Mohammed Zainuddin, 12, yang menduduki peperiksaan di dalam wad HUSM berkata, beliau sangat selesa untuk menjawab soalan walaupun terpaksa menulis dengan tangan kiri disebabkan terlibat dalam kemalangan.

“Usaha yang saya curahkan ini ialah semata-mata untuk mencapai cita-cita saya untuk menjadi seorang arkitek,” kata pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Cina (C) Khuy Boon, Rantau Panjang, Kelantan.

SDH HUSM telah memberi peluang kepada calon Penilaian Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), dan Malaysian University English Test (MUET) untuk menduduki peperiksaan tersebut sepanjang penubuhannya di Hospital USM.

Teks/Foto: Eddy Masry Mohamed

  • Created on .
  • Hits: 946

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024