USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KOMITED PERTINGKAT KUALITI DAN KECEMERLANGAN

DSC 2204

PULAU PINANG, 6 September 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited untuk mempertahan malah meningkatkan kualiti akademik serta kecemerlangannya di samping berusaha gigih mengekalkan kedudukannya sebagai Universiti Penyelidikan negara.

Penekanan USM ialah kepada kemampuan dan keperluan untuk memastikan ahli-ahli akademiknya diiktiraf terutamanya kualiti penerbitan dalam jurnal berindeks yang ditonjolkan melalui bilangan sitasi yang diperolehi Universiti, dan juga pengambilan pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang.

“Oleh itu, USM menerima hakikat bahawa kedudukannya dalam ‘QS World University Ranking’ (QSWUR) akan berlaku naik dan turun yang bila-bila masa boleh berubah terutamanya dalam pengukuran yang di luar kawalan.

Yang jelas  USM berada pada kedudukan nombor 2 selama empat tahun berturut-turut dalam Reputasi Majikan dan nombor 3 dalam Reputasi Akademik (3 tahun pada kedudukan kedua) di Malaysia manakala  dalam Sitasi Per Fakulti berada pada kedudukan pertama di Malaysia untuk 5 tahun berturut-turut.

"Pencapaian USM dalam aspek sitasi jurnal penyelidikannya pula terus dipertahankan dalam tempoh lima tahun ini dengan terus menjadi yang terbaik di dalam negara dan di antara terbaik di peringkat antarabangsa,” kata Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.

Hal yang sama dapat dilihat apabila 3 daripada 4 orang pensyarah di negara ini yang diiktiraf sebagai ‘The Most Cited Researchers’ oleh ‘Shanghai Academic Ranking of World Universities’ (ARWU) datangnya dari USM. Perkara ini juga disokong oleh kedudukan rangking QSWUR mengikut subjek iaitu Kejuruteraan Kimia dan Sains Persekitaran USM yang disenaraikan dalam kedudukan 50 terbaik di dunia.

Enam aspek diambil kira dalam penilaian yang dibuat oleh QSWUR iaitu Reputasi Akademik (Academic Reputation), Reputasi Majikan (Employer Reputation), Nisbah Pelajar Fakulti (Faculty Student Ratio), Sitasi Per Fakulti (Citations Per Faculty), Fakulti Antarabangsa (International Faculty) dan Pelajar Antarabangsa (International Students).

USM menghadapi penurunan ketara dalam aspek Fakulti Antarabangsa dan Pelajar Antarabangsa yang kedua-duanya berkait rapat dengan keperluan untuk meningkatkan jumlah pelaburan dalam menarik lebih ramai pensyarah dan pelajar luar negara yang berkualiti.

Jelas Omar, pada prinsipnya USM mengekalkan bilangan pelajar keseluruhan penuh masanya yang berjumlah kira-kira 24,500 orang dengan bilangan ahli akademiknya sekitar 2,200 orang berbanding dengan universiti lain yang mempunyai bilangan pelajar yang mungkin jauh lebih rendah bilangannya kerana USM percaya bahawa universiti tempatan sewajarnya menyediakan tempat lebih besar untuk anak-anak muda kita mengikuti pengajian termasuk pada peringkat ijazah tinggi.

“Hal ini sekaligus akan menyebabkan berlaku peningkatan nisbah pensyarah dengan pelajar yang menyebabkan kedudukan dalam rangking menurun berbanding dengan nisbah yang dianggap bersesuaian dengan sesebuah universiti iaitu bilangan pensyarah dengan pelajar (Nisbah Pelajar Fakulti) yang lebih rendah,” kata Omar.

Menurutnya lagi, hal yang sama juga berlaku dengan kedudukan bilangan pelajar dan pensyarah antarabangsa yang ada kerana USM mementingkan pengambilan pelajar luar negara yang benar-benar berkualiti selaras mengikut arahan Senat Universiti yang memutuskan bahawa kualiti dan bukannya kuantiti yang menentukan bilangan sebenar pengambilan pelajar.

Hal ini juga menjelaskan kenapa hanya sekitar 3,700 orang pelajar ijazah pertama diterima masuk mengikuti pengajian di USM pada sidang akademik 2016/2017 berbanding dengan lebih 21,000 permohonan yang diterima untuk dipilih berdasarkan meritokrasi dan autonomi yang diberikan kepada USM.

“Secara keseluruhannya USM terus komited untuk mencapai kedudukan lebih tinggi dalam rangking, namun pada masa yang sama tidak berkompromi dengan jumlah pengambilan masuk pelajar, kualiti pelajar mahu pun aspek keunggulan akademik dalam hal penerbitan dan sitasi yang berkait rapat dengan pengiktirafan terhadap usaha penyelidikan yang dilakukan selama ini.”

“Dari aspek reputasi majikan, kedudukan USM bertambah baik dan tidak banyak perubahan daripada tahun-tahun sebelum ini.”

“Dalam tempoh lima tahun ini, pencapaian USM dalam rangking secara keseluruhannya meningkat namun menerima hakikat bahawa berlaku naik turun disebabkan oleh banyak faktor lain yang berlaku di seluruh dunia, termasuk pertambahan bilangan universiti yang terlibat dan persaingan dalam menentukan kedudukan yang ada,” tegas Omar.

  • Created on .
  • Hits: 1057

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024