IBUBAPA SYUKUR ANAK TERPILIH JALANI PEMBEDAHAN JANTUNG DI HOSPITAL USM
KUBANG KERIAN, 2 September 2016 - "Tiada ucapan paling indah yang dapat saya zahirkan kecuali syukur Alhamdulillah," demikian luahan hati seorang ibu, Nur Zatul Iffah, 31, yang gembira selepas menunggu hampir lapan bulan akhirnya anak yang dikasihi selamat menjalani pembedahan jantung di Hospital USM.
Anak beliau, Wan Zaleef Irsyad Wan Noor adalah antara 10 orang pesakit terpilih menjalani pembedahan yang dijalankan melalui kerjasama Hospital USM dengan Yayasan 'Healing Little Hearts' United Kingdom (HLHs).
Menurut Nur Zatul, anaknya mula disahkan menghidap penyakit ini sejak berumur 3 bulan setelah demam, batuk dan bernafas seperti pesakit asma kemudian mendapat rawatan awal di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) sebelum dirujuk ke Hospital USM untuk pembedahan.
"Saya dan suami tinggal berjauhan kerana suami bekerja di Kelantan dan saya di Sabah, ini sememangnya amat menyukarkan kami berdua namun ketabahan menguruskan anak yang sebegini mengatasi segalanya," jelas beliau.
Sementara itu, menurut Chua Siok Kuan, 34, ibu kepada pesakit Lua Yi Xuan, 3, melahirkan rasa puas hati dan gembira anaknya selamat menjalani pembedahan di sini semalam.
Beliau yang merupakan seorang suri rumah merasa terharu apabila dimaklumkan oleh pihak hospital yang anaknya terpilih untuk menjalani pembedahan di sini.
"Anak saya mula didiagnosis dan disahkan menghidap penyakit seminggu selepas dilahirkan, dia seorang yang aktif namun sering keletihan selepas bermain, sepatutnya pembedahan perlu dilakukan pada Disember tahun lepas namun perlu menunggu berat badan anak mencukupi dan kini barulah dapat menjalani pembedahan," ujar beliau.
Norru Ain Remali, 29, yang berasal dari Jerteh Trengganu, turut berkongsi perasaan yang sama apabila anaknya Ummar Aiman Mohd Zaidi turut terpilih kerana anak beliau perlu menjalani pembedahan dalam masa terdekat ini bagi mengelakkan injap jantungnya turut bocor dan penantian selama enam bulan berakhir dengan kegembiraan atas kejayaan pembedahan ini.
"Tiada perkataan yang mampu saya ungkapkan selain syukur kepada Allah dan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk Hospital USM dan Yayasan 'Healing Little Hearts' United Kingdom (HLHs).
Kesemua 10 pesakit kanak-kanak yang menjalani pembedahan jantung ini akan ditempatkan sementara di Wad Unit Rawatan Rapi Surgikal untuk penjagaan rapi, proses pemantauan seperti pemeriksaan tanda vital dan penjagaan tiub 'chest drainage' untuk mengelakkan sebarang komplikasi sebelum dipindahkan ke wad biasa.
Kerjasama Hospital USM dengan HLHs adalah untuk membantu keluarga yang tidak berkemampuan terutama kanak-kanak yang mengalami masalah jantung berlubang selain dapat mengurangkan masa menunggu pesakit untuk menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).
Selain daripada pasukan sukarelawan HLHs, program ini turut mendapat sokongan kuat daripada pelbagai pihak yang terlibat di Hospital USM terutama para jururawat yang bertugas untuk memantau progres kesembuhan dan memberikan rawatan selepas pembedahan. Sesungguhnya jasa mereka tidak ternilai.
Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob
- Created on .
- Hits: 1608