USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PASANGAN KEMBAR RELA BERPISAH DEMI MELANJUTKAN PENGAJIAN

untitledghgh

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 September 2016 – Pasangan kembar seiras Ros Afifa dan Ros Amina Mohd Anuar terpaksa berpisah buat pertama kali apabila masing-masing ditawarkan melanjutkan pengajian di Univeristi Awam bagi sesi kemasukan 2016/2017.

Ros Afifa, 19, bertuah kerana terpilih daripada ribuan calon yang memohon untuk mendapat tempat di Universiti Sains Malaysia (USM) setelah berjaya ditawarkan untuk mengikuti kursus Ijazah Perubatan manakala kembarnya pula ditawarkan mengikuti kursus yang sama di Universiti Malaya.

Menurut Ros Afifa yang berasal dari Kuala Lumpur, perasaan gembira dapat bergelar pelajar USM dan mengalami alam kampus telah menutupi rasa sedih terpaksa berpisah dengan pasangan kembarnya.

“Sejak daripada lahir, kami jarang berpisah dalam jangkamasa yang panjang kerana di sekolah pun kami berada dalam kelas yang sama dan melakukan aktiviti ko-korikulum bersama.

“Kini bukan sahaja berpisah dengan kembar saya, namun saya juga terpaksa berpisah dengan keluarga dan hidup berdikari buat kali pertamanya,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Sambutan Siswa Sidang Akademik 2016/2017 yang berlangsung di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM, di sini baru-baru ini.

Ros Afifa berkata, ibubapa mereka pada mulanya bimbang dengan keadaan demikian tetapi akhirnya menerima hakikat bahawa anak kembarnya itu akan menjalani kehidupan yang berasingan apabila dewasa kelak.

“Dapat bergelar siswa USM ini adalah hadiah terbaik yang dapat saya berikan kepada ibubapa saya yang banyak memberi galakan untuk terus berusaha mengecapi kejayaan. Setiap kali mengulangkaji  pelajaran, saya akan membayangkan wajah ibu kerana beliaulah sumber inspirasi terbesar dalam hidup saya,” jelasnya lagi.

untitledght

Sementara itu, bagi Auni Athirah Mansor, 19, dari Kampung Pasir Pekan, Kota Bharu yang bercita-cita menjadi seorang doktor sejak kecil lagi pula berasa teruja apabila impiannya untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan telah menjadi kenyataan setelah ditawarkan oleh USM untuk kemasukan pelajar baharu 2016/2017 dalam Jurusan Sains Perubatan di Kampus USM-KLE di Belgaum, Kartanaka, India.

“Saya bangga dan teruja kerana dapat diterima masuk dalam USM yang sangat dikenali dan disegani selain diberi peluang untuk menyambung pelajaran ke luar negara.

“Saya juga berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dan lebih fokus dalam pelajaran agar saya boleh membanggakan nama USM suatu hari nanti,” katanya yang memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 9A+ dan 2A.

Teks: Anawiah Abdul Aziz / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 1386

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024