SEMAI SEMANGAT CINTAKAN USM DALAM DIRI SETIAP PELAJAR – NAIB CANSELOR
KUBANG KERIAN, 31 Ogos 2016 – Pelajar baharu sidang akademik 2016/2017 disarankan untuk menyemai dan menyuburkan semangat cintakan negara dengan mula mencintai dan menyayangi Universiti Sains Malaysia (USM) seterusnya mengenali, menerokai setiap inci, segala keseronokan, nilai serta rukun perlu dikuasai setiap pelajar yang terdapat di Kampus Kesihatan.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, untuk menyemai rasa cinta ini, para pelajar hendaklah sentiasa mengingati orang yang berjasa kepada mereka iaitu keluarga dan sekolah di mana mereka bermula.
“Pelajar-pelajar seharusnya mengucapkan terima kasih kepada orang yang telah banyak berkorban jiwa dan raga bagi melihat mereka berjaya. Hadiahkan sebuah buku keluaran USM untuk perpustakaan sekolah atau simpanan peribadi sebagai ingatan terhadap jasa mereka sebelum ini,” ujarnya dalam Majlis Sambutan Siswa Sidang Akademik 2016/2017 yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, USM, di sini semalam.
Seramai 614 pelajar baharu yang mendaftar di Kampus Kesihatan USM terpilih daripada kalangan lebih 21,000 orang yang memohon untuk memasuki USM dan para pelajar ini dipilih berdasarkan kecemerlangan mereka dari hasil peluang pendidikan berkualiti yang ada di tanah air.
Omar berkata, setiap tahun pelajar perempuan mendominasi statistik kemasukan pelajar dengan nisbah lelaki-perempuan sekitar 30:70 dan ini adalah cabaran besar untuk pelajar lelaki bagi membuktikan kemampuan untuk bersaing agar jumlah yang lebih kecil benar-benar berkualiti tinggi.
“Sejak penubuhan USM pada tahun 1969 dengan pengambilan pertama pelajar di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang yang pada mulanya dinamakan sebagai Universiti Pulau Pinang dan bertukar kepada USM pada tahun 1972, sekarang ini mempunyai enrolmen pelajar ijazah pertama iaitu 26,261 orang di beberapa kampus termasuk Kampus Kesihatan 2,880 orang.
“Gunakanlah peluang bergelar pelajar USM untuk melawati kampus-kampus USM kerana USM mempunyai beberapa kampus dan pusat pembelajaran iaitu Kampus Induk di Pulau Pinang; Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, Kelantan; Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal, Pulau Pinang; Kampus Bertam di Kepala Batas, Pulau Pinang; Kampus Penyelidikan Di Bukit Jambul, Pulau Pinang; Kampus USM-KLE di Belgaum, Kartnataka, India; IPS USM@KL di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur; USM-Politeknik Port Dickson; SCIENCE@Alor Setar dan 10 pusat wilayah untuk pendidikan jarak jauh di seluruh Malaysia,” jelasnya lagi.
Tambah Omar, USM kini turut menerokai dunia antarabangsa dengan menawarkan program di USM-KLE, Belgaum, India, dan berkembang pesat dengan menawarkan program secara pesisir atau ‘off-shore’ di Indonesia yang dijangka akan dikembangkan di beberapa buah negara lain antaranya di Hong Kong.
“USM juga menawarkan pengajian ijazah tinggi secara berkembar dengan universiti-universiti terkemuka seperti di Perancis, German, United Kingdom, Jepun dan Australia serta kini USM telah mempunyai dua orang pensyarah yang baharu pulang dari Perancis dan memiliki doktor Falsafah dari program berkembar itu.
“USM juga meniti kejayaan apabila berada di kedudukan 26 di kalangan universiti 50 tahun ke bawah. Pada tahun 2014, USM tersenarai pada kedudukan ke-28 dalam QS World Ranking dalam bidang Sains Persekitaran. Pengajian Kejuruteraan juga disenaraikan pada kedudukan teratas iaitu 100 hingga 150 dalam The Academic Ranking of World Universities (ARWU) yang dilakukan oleh Shanghai Jiao Tong University,” kata Omar.
Omar menjelaskan lagi bahawa kejayaan-kejayaan tersebut adalah sebahagian daripada pencapaian yang telah USM raih dengan menzahirkan pendidikan tinggi yang berkualiti dan bertaraf dunia. Pengiktirafan Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) pada tahun 2008 menjadikan USM universiti pertama dengan kelestarian untuk menjadi yang terbaik.
“Setelah mendapat APEX, USM menjadi universiti pertama melaksanakan Program Pimpin Siswa dan ‘World Café’ dan menzahirkan Majlis Perundingan Pelajar atau Parlimen Mahasiswa yang kini turut diikuti oleh universiti lain di samping wujudnya Parlimen Belia Malaysia.
“USM mengambil inisiatif mengadakan program APEX Scholar dan meletakkan sasaran pelajar HEBAT. Pelajar USM tidak lagi membataskan dirinya dengan apa yang ada di dalam negara malah bersedia untuk mengambil peluang dalam pelbagai bidang di mana sahaja di seluruh pelosok dunia,” jelasnya lagi.
Omar turut menyeru para pelajar merealisasikan motto USM “Kami Memimpin” dalam mencapai hala tuju masa hadapan yang cemerlang dan gemilang dengan melatih diri untuk menjaga nama baik USM.
Teks: Wan Salizawati Wan Ismail /Foto :Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 956