DUA PELAJAR DOKTOR FALSAFAH JAYAKAN KOLABORASI PERTAMA DENGAN REPUBLIC CZECH
USM, PULAU PINANG, 1 September 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah dalam pelebaran kolaborasi antarabangsanya apabila julung kali merealisasikan kerjasama penyelidikan dengan salah sebuah universiti dari Republic Czech.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, kerjasama tersebut menyaksikan dua pelajar peringkat ijazah doktor falsafah USM terpilih menerima biasiswa berjumlah 52,800 CZK (RM 9,000) bagi membiayai pengajian secara internship selama enam bulan di University of Pardubice, Republik Czech.
Katanya, dua pelajar berkenaan ialah Ng Siow Woon dari Pusat Pengajian Sains Fizik yang akan memulakan internship pada pertengahan September ini manakala Puvanisvaran Murukasan dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan pula akan ke sana awal tahun depan.
“Kolaborasi ini bertitik-tolak dari hasil perbincangan dan kerjasama yang telah dimeterai sejak setahun yang lalu. Ia turut menjadi satu penanda aras yang menunjukkan satu hubungan penyelidikan yang boleh diteroka secara bersama antara kedua-dua negara.
"Ini adalah permulaan kepada kolaborasi jangka panjang yang mana USM turut merancang untuk menghantar lebih ramai warganya termasuk pensyarah dan pelajar pasca siswazah ke beberapa lagi universiti di sana termasuk Academy of Sciences, Republic Czech,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang dipengerusikan bersama dengan Duta Republik Czech, Rudolf Hykl yang turut menyempurnakan majlis penyampaian replika cek kepada penerima di sini hari ini.
Rudolf pula berkata, kerjasama strategik rentas negara itu adalah inisiatif yang amat tepat dalam mengukuhkan jaringan antarabangsa melalui usaha-usaha penyelidikan dan pendidikan tinggi.
“Kolaborasi ini mencerminkan USM mempunyai satu set pemikiran global yang dapat memacu kecemerlangannya melalui pengukuhan dan pelebaran sayap kolaborasi antarabangsa.
“Republik Czech amat berbangga menjadi sebahagian rakan kolaborasi pintar USM, sebuah universiti yang berprestasi tinggi di Malaysia melalui kepimpinan hebat yang diketuai Naib Canselornya,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama turut berbangga dengan kecemerlangan dua pelajar yang terpilih dan berharap mereka dapat menjalankan penyelidikan dengan baik di samping menikmati keindahan di University of Pardubice yang terletak di pusat tumpuan industri elektronik dan kimia negara tersebut, selain mempunyai banyak bangunan dan warisan bersejarah.
Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 946