USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEBERSAMAAN TUNJANG PERPADUAN KAUM

IMG 0071GF

PULAU PINANG, 27 Mac 2015 - Kekalkan semangat perpaduan kaum kerana kebersamaan dalam apa jua nilai kehidupan merupakan tunjang kepada kelestarian perhubungan dalam memacu kecemerlangan universiti.

Demikian kata Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. See Ching Mey yang menyifatkan penganjuran Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat USM 2015 ini sebagai medium perpaduan dalam mengeratkan lagi hubungan sesama staf  tanpa mengira latar belakang mahupun kaum dan agama.

IMG 0076DF

Program yang dianjurkan oleh Jabatan Pendaftar USM ini bertujuan mengumpulkan semua staf yang meraikan perayaan ini di Kampus Induk USM di samping mengeratkan hubungan dan kesatuan dalam kalangan staf.

"Oleh itu, tanpa mengira kaum dan agama, marilah kita terus berazam mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang telah sedia wujud ini," ujar Susie semasa ucapannya mewakili Naib Canselor di Dataran Merah, Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) di sini, hari ini.

Pendaftar USM Puan Siti Zubaidah A. Hamid pula menegaskan bahawa semangat perpaduan dan kerjasama yang erat juga merupakan asas kukuh dalam penyatuan masyarakat pelbagai kaum di negara ini amnya dan USM khususnya.

IMG 0055H

IMG 0072FG

"Program ini secara tidak langsung menjadi salah satu pendekatan untuk menggalakkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di dalam USM khususnya untuk lebih memahami sambutan Tahun Baru Cina ini dengan lebih mendalam," kata Zubaidah.

Program Sayangi USM "Sambutan Tahun Baharu Cina 2015" ini turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat Tionghua, antaranya ialah tarian singa, persembahan orkestra Cina, tarian kipas, serta pelbagai aktiviti menarik lagi dan diakhiri dengan pemberian buah limau dan angpao yang juga simbolik kepada perayaan Tahun Baru Cina sebagai memberi tuah.

Program ini kali kedua dianjurkan oleh Pejabat Pendaftar bersama Bahagian Jaringan Industri Masyarakat (BJIM) serta beberapa persatuan pelajar USM dalam usaha melestarikan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dalam USM khususnya.

IMG 0050G

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa USM Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan isteri Datin Dr. Aishah Knight Abdul Shatar; isteri Timbalan Naib Canselor Bahagian Penyelidikan dan Inovasi Datin Suraiya Kassim  Bendahari Dr. Rohayati Mohd. Isa, Wakil Komuniti Cina dalam USM, Profesor Dr. Low Heng Chin serta pegawai-pegawai utama USM.

Malam Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat USM juga akan diadakan pada esok malam bermula jam 8.30 malam di sini yang akan dirasmikan oleh Wakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liang Teck Meng. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Suntingan: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1881

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024