USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR DIMINTA JIMAT GUNA TENAGA ELEKTRIK

untitledgthjyt

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 31 Ogos 2016 - Para pelajar baharu sidang akademik 2016/2017 Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) diminta agar berjimat guna tenaga elektrik, air dan sumber-sumber lain.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar Dan Alumni USM Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein berkata, dalam diri setiap pelajar perlu ada rasa tanggungjawab untuk sentiasa memastikan suis-suis yang tidak digunakan ditutup sebelum meninggalkan bilik masing-masing.

Bercakap dalam sesi khas bersama pemimpin kepada 614 pelajar baharu di Majlis Sambutan Siswa Sidang Akademik 2016/2017 yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan, di sini, Adnan berseloroh berkata, "Kalau boleh, tampal 'sticker' gambar saya (Adnan) di suis dalam bilik masing-masing supaya setiap kali nak keluar mesti tengok dan ingat pesanan saya ini disebabkan terpandang gambar tersebut."

Sebagai motivasi, bagi desasiswa yang berjaya menurunkan bil elektrik setiap bulan dari bil yang sebelumnya, universiti akan kembalikan wang lebihan tersebut untuk kegunaan perkara lain para pelajar desasiswa itu.

Tambah Adnan, para pelajar juga perlulah menjaga persekitaran kampus untuk memastikan kampus bebas dari asap rokok.

"Para pelajar yang merokok bolehlah mengunjungi 'Klinik Berhenti Merokok' bagi mengurangkan kadar ketagihan kepada rokok dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Selain bebas asap rokok, USM juga mengamalkan kempen tiada penggunaan polistrina melalui projek 'The White Coffin' dan kempen mengurangkan penggunaan plastik sejak tahun 2009 lagi," ujarnya.

Adnan berkata, para pelajar hendaklah menggunakan peluang bergelar pelajar USM dengan sebaik mungkin dengan mematuhi dan menghormati setiap peraturan yang ditetapkan yang bukan bertujuan menyusahkan para pelajar, tetapi ditetapkan agar tidak mengganggu kehidupan orang lain.

Yang turut hadir dalam sesi ini ialah Timbalan Pendaftar Kanan Kampus Kesihatan yang juga  Penggawa Desasiswa Nurani, Haji Yusoff Yusoff Abdullah dan Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Kampus Kesihatan, Hafiz Assad Zakaria.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 1171

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024