USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

2 PASUKAN KIK USM RANGKUL EMAS DI ICQCC 2016 BANGKOK

KIK Bangkok 2016

PULAU PINANG, 30 Ogos 2016 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Kampus Kesihatan sekali lagi mengharumkan nama Universiti Sains Malaysia (USM) apabila berjaya merangkul Anugerah Emas dalam International Convention on Quality Control Circles 2016 (ICQCC 2016) yang berlangsung di The Centara Grand at Central Plaza Ladprao Hotel, Bangkok Thailand pada 22 hingga 26 Ogos lalu.

ICQCC adalah platform untuk aktiviti penanda aras dari segi tahap perbandingan pencapaian dan kesannya terhadap organisasi dalam kalangan negara-negara yang mengambil bahagian melalui inisiatif inovatif dan projek-projek kreatif untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan dalam organisasi.

Pada penganjuran kali ke-41 ini yang bertemakan “Enhancing Human Resources Performance”, USM telah menghantar dua pasukan iaitu Galaksi R-3 dan Beyond Rehab masing-masing dari IPPT dan Kampus Kesihatan.

Menurut ketua kumpulan Galaksi R-3, Muhammad Akasyah Baharum ketika ditemui sejurus pulang dari Bangkok, beliau berasa amat bersyukur dangan pencapaian ini dan berasa amat berbangga di samping gembira dengan apa yang diperolehi.

“Hasil usaha setiap ahli pasukan terbalas dengan Anugerah Emas yang diperolehi di peringkat antarabangsa walau pun terpaksa bersaing dengan kumpulan-kumpulan negara maju yang menghasilkan inovasi berimpak serta dana yang tinggi,” katanya.

“Kejayaan ini adalah yang terbaik pernah diperolehi bagi Kumpulan Galaksi R-3. Lebih manis ialah penglibatan ahli kumpulan dalam projek inovasi ini telah merubah atmosfera budaya kerja di Unit Rehabilitasi kepada yang lebih positif,” tambahnya lagi.

Beliau tidak menyangka hasil inovasi mereka mampu mendapat pengiktirafan di peringkat tertinggi dan seterusnya dapat mengharumkan nama IPPT, USM dan Malaysia walau pun terpaksa bersaing dengan 330 pasukan lain yang menghasilkan pelbagai bentuk inovasi.

Ditanya berkenaan halatuju kumpulan Galaksi R-3 selepas ini, Akasyah yang juga seorang Jurupulih Perubatan menyatakan untuk terus menghasilkan inovasi baru bagi meningkatkan kualiti kerja, di samping untuk menjadi bahan rujukan penyelidikan klinikal.

Kumpulan Galaksi R-3 menghasilkan Medi-Bike Exerciser yang merupakan alat senaman gabungan untuk anggota atas dan anggota bawah supaya aktiviti senaman boleh dijalankan serentak yang mesra pengguna, mudah alih, mampu milik dan telah diperakui selamat digunakan terhadap pesakit dan pengguna lain oleh SIRIM. Produk ini juga telah mendapat status hakcipta daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Teks: Faisal Jamaludin / Foto: Kump. Galaksi R-3

  • Created on .
  • Hits: 883

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024