USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RAWATAN AWAL KURANGKAN KOMPLIKASI LECUR

untitledcdfh

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Ogos 2016 - Unit Rawatan Kebakaran (URK) Hospital Universiti Sains Malaysia  ditubuhkan pada tahun 2000 sebagai Unit Lecuran HUSM untuk memberi rawatan komprehensif  dari peringkat awal kecederaan dan menjadi pusat latihan serta rujukan rawatan kebakaran di samping menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang perubatan dan teknologi berkaitan kebakaran.

Menurut Pensyarah Kanan, Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Arman Zaharil Mat Saad,  kemalangan mengakibatkan luka kebakaran (melecur) berlaku setiap hari dan rawatan pertolongan cemas awal (first aid) boleh membantu mengurangkan kadar keterukan luka kebakaran.

“URK dipertanggungjawabkan untuk merawat luka kebakaran daripada pelbagai tahap secara pesakit luar mahupun dengan hospitalisasi secara pesakit dalam kerana mempunyai fasiliti bertaraf antarabangsa dan menerima rujukan daripada hospital seluruh negara terutamanya daripada negeri-negeri pantai timur.

“Terdapat beberapa bilik di URK iaitu wad pengasingan, bilik resusitasi atau bilik rawatan awal dan bilik hidroterapi untuk kebakaran teruk,” Arman bercakap dalam temu bual bersama radio tempatan dalam Program Doktor Di Radio di sini.

Dia berkata, tahap kecederaan boleh diukur melalui ketebalan lecuran pada permukaan dan perubahan warna kulit dan bagi pesakit yang mengalami kecederaan teruk, ia mengambil masa untuk pulih dan perlu berada di hospital dalam jangka masa yang lama.

sakit12

“Rawatan awal luka lecur atau terbakar yang kecil boleh dirawat sendiri, tetapi luka lecur atau terbakar yang kritikal memerlukan rawatan perubatan dengan segera.

“Luka lecur atau terbakar boleh dirawat awal sekiranya dialirkan kuantiti air yang banyak untuk menyejukkan bahagian yang terbakar dan proses itu dilakukan selama 20 hingga 30 minit,” ujarnya lagi.

Tambah Arman, pesakit juga tidak dibenarkan menggunakan ais atau air berais kerana boleh menyebabkan kehilangan haba dari badan.

“Kita boleh menggunakan tuala yang direndam dalam air atau pakai pakaian yang basah bagi kawasan yang tidak boleh direndam seperti muka dan jangan melumurkan bahan kimia atau cecair seperti kicap, losyen sejuk serta minyak zaitun ke atas kawasan luka melecur atau terbakar itu.

“Sejenis pakaian yang ketat dinamakan “Pressure Garment” perlu dipakai oleh pesakit yang mengalami luka melecur untuk mengelakkan parut timbul dan pesakit juga perlu memakan makanan yang mengandungi protein yang tinggi untuk mempercepatkan proses penyembuhan,” katanya.

Menurut Arman lagi, apabila berlaku sesuatu kebakaran, kita perlu pastikan keselamatan diri sendiri dahulu, kemudian membuat panggilan kepada bomba dan seterusnya mematikan punca elektrik.

“Bagi mangsa yang mengalami lecuran, pesakit perlu dibalut dengan kain basah atau beri arahan kepada mangsa supaya berguling di atas tanah. Buka pakaian mangsa dan alirkan pada air yang bersuhu bilik selama 20 minit sebelum membawa mangsa ke klinik atau hospital berdekatan.

“Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan konsep pencegahan kebakaran dan elakkan daripada melakukan pembakaran terbuka serta sentiasa memastikan rumah dan bangunan pejabat mempunyai alat pemadam kebakaran yang berfungsi kerana rawatan awal ke atas mangsa kebakaran dapat mengurangkan komplikasi lecur dan kesakitan mereka,” ujarnya lagi.

Teks: Roslida Mohamed / Foto: Mohd Sabri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 1938

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024