USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TINGKATKAN NILAI MORAL UNTUK MASA HADAPAN NEGARA

14095883 10210150875752765 7494611743063536159 n

Kubang Kerian,  24 Ogos 2016 - Nilai moral yang makin merudum menyebabkan sukar untuk masyarakat mengurangkan kadar jenayah yang stagnan sejak 10 tahun ke belakang.

Pakar psikologi dan kriminologi Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Geshina Ayu Mat Saat berkata,  masyarakat perlu ditekankan dengan pendidikan moral secara holistik bukan hanya tertumpu kepada anak-anak tetapi juga ibu bapa dan keluarga.

"Ini adalah kerana anak-anak akan keliru dengan tingkahlaku ibu bapa dan keluarga mahu pun anggota masyarakat lain apabila tindakannya tidak selari dengan amalan yang ada seperti mana yang dipelajarinya apatah lagi dalam kalangan ibu bapa dan keluarga terdekat," katanya.

Jelasnya banyak kajian yang dilakukan yang menunjukkan masalah kejatuhan nilai moral masyarakat yang membawa kepada pelbagai perlakuan jenayah dalam kalangan masyarakat yang bermula dengan kekeliruan seperti ini.

Beliau juga menzahirkan kebimbangan terhadap nilai integriti dan moral yang dialami masyarakat negara ini yang hampir di ambang menjadi sebuah negara maju kerana jika tidak ditangani akan menjadi suatu penyakit kepada negara.

Tambahnya,  negara Jepun misalnya mendidik anak-anaknya dengan nilai-nilai moral secara formal sehingga usia 8 tahun dalam memastikan mereka bersiplin dan mengukuhkan norma yang dipegangnya.

Geshina juga meminta  anggota masyarakat membuat aduan kepada pihak berkuasa terhadap keganasan dan jenayah yang berlaku serta tidak mudah menarik balik tuduhan mereka yang menyebabkan seseorang pelaku jenayah sering terlepas daripada dikenakan tuduhan dan dihadapkan ke muka pengadilan.

"Apabila laporan yang dibuat ditarik balik oleh pengadu menyebabkan kes jenayah ini tutup dan penjenayah masih bebas melakukan jenayah,"katanya yang ditemui di sini.

Satu lagi ancaman kepada kesejahteraan masyarakat dan negara ialah radikalisme.

"Untuk menjadi sebuah negara sejahtera dan selamat, radikalisme juga perlu diubati punca yang menyebabkan keganasan, jenayah dan perkara berkaitan serta perlu diselidik puncanya dengan terperinci," tambahnya.

Jelasnya  lagi, isu keganasan ini adalah sesuatu yang kompleks dan perlu dikaji secara holistik untuk memperoleh masa depan negara yang lebih aman damai dan mempunyai nilai moral yang tinggi dalam kalangan masyarakatnya.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

Foto: Dzulfikar Azmi Muhamad Aripin@Isa

  • Created on .
  • Hits: 642

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024