USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM UNGGULI NRIC 2016

 DSC3032kubgu

PULAU PINANG, 19 Ogos 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi beraksi dengan cemerlang apabila mengungguli The Novel Research and Innovation Competition (NRIC 2016) dengan memenangi tujuh daripada 22 pingat emas yang dipertandingkan.

USM berjaya merangkul pingat emas dalam kategori Sains Kesihatan dan Perubatan, Sains Hayat, Transformasi Sosial dan Seni Kreatif, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Kejuruteraan dan Teknologi.

Ketua hakim NRIC 2016, Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad gembira dengan perkembangan yang baik yang ditunjukkan apabila para hakim yang membuat penilaian berpuas hati dengan kualiti hasil penyelidikan oleh para pelajar pada tahun ini yang dianggap terbaik sepanjang 10 tahun penganjuran NRIC.

 DSC3097hh

"Sebagai ketua hakim yang terlibat dengan NRIC sejak mula dianjurkan, saya berasa amat berpuas hati apabila menilai setiap projek yang dipertandingkan apabila hanya enam peratus sahaja produk yang dipertandingkan tidak memperoleh pingat berbanding tahun lalu sebanyak 24 peratus,” katanya ketika berucap menyampaikan ulasan bagi pertandingan NRIC 2016 di sini malam tadi.

Tambahnya lagi, dari segi impak, kebanyakan produk ini sememangnya ada yang telah sedia untuk dipasarkan selain mempunyai impak yang tinggi dari segi kelestarian, teknologi hijau, dan yang pentingnya memberi impak kepada masyarakat.

Pada NRIC kali ini, penyelidik dari King Mongkut's University of Technology Thonburi (KMUTT) Thailand, menggondol Anugerah Utama iaitu The Best NRIC Award membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000, trofi dan piala iringan.

Bersandarkan kekuatan penyelidikan 'Green Technology for Criminal Investigation Aspect: Visualization of Latent Fingerprints using Mangosteen Shell Powder, pelajar Sains Fizik KMUTT ini berjaya menarik perhatian hakim yang turut terdiri daripada wakil industri untuk menobatkan penyelidikan mereka sebagai pemenang utama.

 DSC3141tryt

Ketua Kumpulan, Chalermchai Boonprakong, 22 berkata, inovasi yang dihasilkan ini merupakan projek tahun akhir mereka sebagai pelajar tahun akhir yang juga turut digunakan oleh pasukan Polis di Thailand sebagai alternatif pengecaman cap jari dalam aktiviti jenayah melalui penggunaan serbuk yang dihasilkan daripada kulit manggis.

“Inovasi ini juga mesra alam dengan hanya menggunakan bahan terbuang iaitu kulit manggis dan mampu memberi kesan yang lebih efektif berbanding penggunaan serbuk pengesan jap jari yang biasa digunakan.

Selain itu juga, produk yang dibangunkan lebih daripada enam bulan ini mampu membuatkan pengesanan cap jari bertahan selama 14 hari berbanding yang biasa digunakan hanya bertahan selama tiga hari sahaja,” katanya lagi.

 DSC3105gyjy

Sementara itu, pemenang anugerah 'Best Presenter NRIC 2016, Calvin Tjondronegoro, 21, dari Ukrida Christian University, Indonesia menyifatkan kemenangan yang diperolehnya adalah suatu yang tidak diduga.

“Saya menzahirkan rasa bersyukur dan amat berterima kasih kepada ahli kumpulan yang lain kerana memberi peluang kepada saya untuk menyertai pertandingan ini sekaligus dapat meraih anugerah ini yang pada awalnya saya hanya membantu ahli kumpulan yang lain membentangkan hasil penyelidikan mereka sahaja,” jelas pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Awam ini.

Calvin membawa pulang wang tunai bernilai RM 500 beserta piala iringan.

NRIC 2016 bertemakan ‘Transformorphosis: Outshining the Innovationalities’ ini melihatkan sebanyak 97 projek dipertandingkan dalam 7 kategori dan melibatkan seramai 21 orang juri.

Hadiah utama disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman.

Yang turut hadir ke majlis ini adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein dan isteri, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal dan Ketua Pengarah Kumpulan Usains Holding Edwin Jose Gomes.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 877

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024