USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NRIC LANDASAN PERKASA PEMBANGUNAN BIDANG PENYELIDIKAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI

 DSC3168ghjh

PULAU PINANG, 18 Ogos 2016 - Penganjuran buat tahun ke-10 The Novel Research and Innovation Competition (NRIC) tahun ini oleh Universiti Sains Malaysia (USM) menunjukkan bahawa pertandingan ini masih lagi merupakan pertandingan yang membina dan membangunkan kebolehan serta kemahiran pelajar-pelajar dalam bidang penyelidikan.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman, USM sentiasa akan memberi ruang dan peluang kepada penganjuran program pertandingan penyelidikan sebegini yang menampilkan para pelajar institusi pengajian dari dalam dan luar negara sebagai peserta yang mempertandingkan produk-produk penyelidikan mereka.

"Saya amat berbangga dengan pencapaian, komitmen dan konsistensi semua yang terlibat dalam NRIC 2016 justeru terserlah segala kebolehan dan nilai inovatif yang dipamerkan oleh peserta bertanding sepanjang pertandingan," katanya ketika menyampaikan ucapan penutup NRIC 2016.

Tambahnya lagi, USM adalah institusi yang berfokus kepada penyelidikan dan akan memberi penekanan lebih kepada pengembangan kolaborasi penyelidikan di dalam dan luar negara secara berterusan.

Omar juga menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua yang terlibat dalam kejayaan NRIC 2016 di USM.

Sementara itu, Pengarah Projek NRIC 2016 Tan Kar Yap pula berkata, pertandingan berprestij ini memainkan peranan dalam pembangunan penyelidikan produk pelajar yang juga dipamerkan kepada industri.

"Sebagai antara perintis dalam bidang inovasi dalam kalangan universiti awam, kami berharap pertandingan sebegini dapat bersinar dan juga memimpin universiti lain dalam melestarikan inovasi projek selari dengan pembangunan sains dan teknologi negara," jelasnya.

Sebanyak 97 projek dipertandingkan dalam NRIC 2016 dan melibatkan seramai 21 orang juri dan 6 kategori pertandingan.

Penganjuran NRIC adalah bertujuan mempertandingkan projek-projek penyelidikan ijazah pertama tahun akhir IPTA dan IPTS manakala tujuan penganjuran Community Research and Innovation Competition (CoRIC) 2016 adalah untuk menggalakkan para pelajar berganding bahu memberikan idea penyelidikan dan inovasi selaras dengan konsep yang diterapkan di dalam CoRIC iaitu 'The Power of Idea'.

Yang turut hadir ke majlis ini adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein dan isteri, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Ketua Juri Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad dan Ketua Pengarah Kumpulan Usains Holding Edwin Jose Gomes.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Zamani Abd Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1223

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024