USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MATRA 2016 PLATFORM PELAJAR SENI BINA TONJOL BAKAT KREATIF

IMG 8386lo

USM, PULAU PINANG, 18 Ogos 2016 – Program tahunan Architectural Student Workshop (MATRA 2016) dilihat sebagai platform kepada pelajar seni bina memperkukuhkan pengetahuan tentang dimensi yang berpotensi dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof berkata, di bawah Kementerian Kerja Raya, pihaknya sangat mengambil berat tentang peranan pelbagai pihak yang terlibat dalam industri pembinaan termasuk mereka yang terlibat dalam seni bina.

“Kumpulan ini dilihat perlu mengambil langkah-langkah proaktif ke arah mencapai wawasan Malaysia menjadi negara maju. Oleh itu setiap pihak perlu bertanggungjawab dalam menjana pembangunan yang lestari di samping peka terhadap alam sekitar, warisan, sosial dan budaya,” jelasnya.

IMG 8467

Tambahnya, MATRA 2016 dilihat sebagai platform yang terbaik untuk pelajar seni bina bersaing menghasilkan idea-idea kreatif dan berfikir di luar kotak.

"Dalam menghasilkan arkitek terkemuka, nilai-nilai penting yang perlu dibentuk termasuk sifat dari segi kepimpinan, pengetahuan, kemahiran dan personaliti.

“Saya percaya program yang dijalankan selama lima hari ini mampu mencapai matlamatnya dengan aktiviti-aktiviti yang telah diaturkan oleh pihak USM,” katanya dalam ucapan perasmian di sini, hari ini,

Jelas Fadillah lagi, MATRA 2016 dilihat sebagai medium terbaik dalam membentuk kerjasama antara pihak universiti dan industri khususnya dalam bidang pembinaan.

IMG 8518

IMG 8534

“Pihak industri perlu mengenal pasti keperluan hari ini terutamanya dalam bidang seni bina bagi melahirkan arkitek yang bukan sahaja memenuhi keperluan tempatan tetapi juga mampu untuk bersaing seluruh dunia,” katanya.

MATRA 2016 telah menarik penyertaan 21 institusi pengajian tinggi, dua daripadanya adalah dari luar negara, iaitu Universiti Syiah Kuala, Indonesia dan Universiti Islam Omdurman, Sudan.

Sebanyak 12 pertandingan seni bina dipertandingkan dalam MATRA 2016 ini termasuklah pertunjukan fesyen, seni dinding, pertunjukan multimedia, persembahan, instagram dan fotografi.

Sementara itu, Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, program pada hari ini bukan sahaja dihadiri oleh pelajar dan golongan pensyarah, tetapi juga turut menghimpunkan golongan profesional dan pengamal industri seni bina.

“USM sentiasa menggalakkan program seumpama ini supaya ahli akademik dapat bekerjasama dengan pihak industri dalam melahirkan arkitek-arkitek muda yang mampu membangunkan pembangunan negara,” tambahnya.

IMG 8454

Omar berharap program ini mampu dalam menyediakan dan menghasilkan golongan profesional yang berbakat, berkemahiran serta berkebolehan dalam industri pembinaan selaras dengan misi universiti.

MATRA 2016 yang masuk tahun ketujuh tahun ini merupakan anjuran Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).

Yang hadir sama dalam majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein; Presiden Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) Datuk Prof. Dr. Amer Hamzah Mohd Yunus; Naib Presiden Malaysia Institute of Architects (PAM) Ar. Ezumi Harzani Ismail; Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Pengarah Bangunan MPSP, Ahmad Nasyruddin Ismail; Pengarah Projek MATRA 2016 Khairul Anwar Mat Hassan serta perwakilan dari PAM dan LAM.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1243

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024