USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENDIDIKAN FLEKSIBEL CORAK MASA DEPAN PENDIDIKAN TINGGI NEGARA

IMG 7827gj

PULAU PINANG, 16 Ogos 2016 – Pendidikan secara fleksibel yang membolehkan sistem pendidikan di negara ini direkabentuk semula seiring dengan perkembangan teknologi semasa dilihat antara yang akan mencorakkan masa depan pendidikan tinggi negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, kehidupan masyarakat pada hari ini telah banyak berubah dan perubahan tersebut turut mempengaruhi sistem pendidikan di negara ini khususnya pengajian tinggi.

Katanya, perubahan ini menuntut semua pihak untuk melihat secara keseluruhan mengenai bagaimana kita dapat melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) di universiti-universiti dalam negara.

“Perkembangan semasa khususnya kepesatan dalam era teknologi membolehkan pelajar menentukan bidang manakah yang hendak mereka pelajari, di mana atau bila mereka hendak belajar.

IMG 7851vbgnf

IMG 7880ghjsg

“Kemungkinan besar juga pada masa depan seseorang itu boleh belajar di lebih dari sebuah universiti dan keadaan ini bukanlah mustahil kerana ia telah pun berlaku di universiti di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan dan menyampaikan ucaptama bersempena penganjuran Kolokium Pendidikan Fleksibel (FEC) 2016 yang julung kali dianjurkan dalam negara oleh tuan rumah, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman; pegawai-pegawai tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Naib-Naib Canselor IPTA/S dan sebagainya.

Tambah beliau, pihak KPT komited untuk merekabentuk semula sistem pendidikan tinggi negara bagi menjayakan pendidikan secara fleksibel termasuk memperkasa program Massive Open Online Course (MOOCs) yang telah pun dijalankan di IPTA/S di negara ini.

“Kita akan memastikan akan adanya kaedah pemindahan kredit dan pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) turut akan melihat kaedah terbaik dalam memberi kredit kepada kursus-kursus dalam talian dengan teknologi yang ada pada masa kini.

IMG 7902ghmgh

“Sistem pendidikan pada masa ini juga mempunyai pelbagai program khusus yang telah pun mengambil kira dan melihat kepada fleksibiliti dalam kaedah P&P yang turut dilihat memberi impak yang cukup besar termasuk menurunkan kos pembelajaran,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya akan turut melihat kaedah terbaik untuk pelajar mendapatkan pendidikan yang terbaik buat mereka dan menggalakkan universiti untuk menyahut cabaran mereka bentuk semula sistem P&P sebagai mencorak masa depan pendidikan negara.

“KPT pula sentiasa komited dan akan melaksanakan sistem pendidikan yang terbaik yang dapat diakses atau diperoleh setiap rakyat di negara sendiri,” katanya sambil memuji langkah proaktif USM dalam menjayakan FEC 2016.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 2223

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024