USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ZULAFKAR ZAILANI TERIMA ANUGERAH SUKARELAWAN TERBAIK MISI SUKARELAWAN SISWA YSS-ASEAN GREEN SUMMER VOLUNTEER CAMPAIGN VIETNAM 2016

IMG 20160816 WA0008

HO CHI MINH CITY, 15 Ogos 2016 - Pelajar tahun pertama Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Zulafkar Zailani, 21, sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah terpilih dan dianugerahkan sebagai Sukarelawan Terbaik dalam program Mua He Xanh (Green Summer Volunteer Campaign Vietnam 2016).

Menurut Zulafkar, program ini berlangsung selama 5 minggu di wilayah Ho Chi Minh dan seramai 50 orang sukarelawan siswa yang terpilih dibahagikan kepada 3 lokasi berasingan untuk menyelesaikan projek masing-masing iaitu di Nhon Duc Commune dan Long Thoi Commune di Daerah Nha Be serta, Tan Thong Hoi Commune di Daerah Cu Chi.

“Program ini merupakan program tahunan di negara Vietnam dalam membentuk sukarelawan dalam kalangan pelajar universiti khususnya belia negara tersebut. Para sukarelawan akan tinggal bersama "Counterpart" iaitu siswa daripada Vietnam supaya dapat mendalami budaya mereka dengan lebih dekat.

IMG 20160816 WA0011

Tambahnya, beliau perlu menyiapkan 2 projek utama iaitu menaiktaraf Taman Belia (Youth Park) @ Friendship Park yang merupakan satu tempat tarikan kepada penduduk dan membuat inovasi di kawasan tersebut menggunakan barang kitar semula serta projek kedua ialah menaiktaraf kawasan simpang jalan (Road Junction) di kawasan tersebut.

“Perkara sampingan lain yang turut saya lakukan adalah menaik taraf jalan Hamlet 4 Nhon Duc, mengadakan kelas ICT kepada kanak-kanak sekitar, Fun Learning Focus Pembelajaran dan Pengajaran Bahasa Inggeris, Asean Day, kluster agribio dan alam sekitar, program kesihatan dan perubatan bersama penduduk serta lain-lain program lagi,” jelasnya yang berasa lega dengan projek yang berjaya disiapkan dengan lancar dalam masa yang ditetapkan.

Ujar lanjutnya lagi, banyak pengalaman, input diperolehi sepanjang program ini serta banyak ilmu dapat diterokai oleh sukarelawan yang terlibat justeru ianya dapat mewujudkan para sukarelawan yang terbaik di persada dunia kelak buat negara.

Majlis penutup program ini telah berlangsung di Dam Sen Park, Ho Chi Minh City, Vietnam dan pemberian anugerah berupa sijil telah disempurnakan oleh kerajaan negeri Vietnam dan turut dihadiri oleh Konsul General Malaysia di Ho Chi Minh City YBhg. Tuan Sofian Akmal Abd Karim, Ahli lembaga Pengarah dan Pemegang Amanah YSS En. Wan Ahmad Hazman Wan Daud dan Dr. Sopian Bujang serta pegawai YSS.

IMG 20160816 WA0009

USM juga diwakili oleh seorang lagi pelajar kursus perubatan iaitu Zaidatul Akma Zainal Abidin dari Kampus Kesihatan USM. Zulafkar terpilih menyertai misi ini setelah berjaya dalam sesi temuduga oleh YSS yang dijalankan di USM.

Program Mua He Xanh merupakan program tahunan pihak Kerajaan Vietnam yang diadakan selama sebulan dan turut melibatkan peranan siswa dalam aktiviti sukarelawan. Pihak YSS telah berkerjasama dengan Youth Union Ho Chi Minh City dalam usaha melatih dan melahirkan pemimpin sukarelawan global dalam kalangan mahasiswa/i Malaysia.

YSS berobjektif untuk membantu komuniti dunia yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan kesukarelawanan, mempromosikan pemahaman antara masyarakat dan keamanan sejagat, mewujudkan hubungan dan jaringan antarabangsa dalam aspek kesukarelawanan dan lain-lain lagi.

Sementara itu, YDP MPPUSM, Mohd Fahmi Mohd Fadzli yang merupakan Alumni YSS misi Vietnam tahun 2015 bagi pihak MPPUSM sangat berbangga dengan pencapaian Zulafkar dan mendoakan semoga beliau menjadi contoh buat ramai lagi pelapis baharu.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1316

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024