PELAJAR USM PRIHATIN, BANTU DERMA DARAH
PULAU PINANG, 10 Ogos 2016 - Keprihatinan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) kepada komuniti diteruskan apabila sekumpulan pelajarnya telah membantu untuk menderma darah kepada ayah bekas salah seorang staf USM Nazliza Binti Mohd Nasir di Hospital Adventist Pulau Pinang hari ini.
Menurut Nazliza, darah yang diperlukan adalah untuk menggantikan darah yang keluar akibat pendarahan dalaman yang berlaku terhadap ayahnya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar USM yang datang hari ini untuk membantu menderma darah kepada ayah saya,” kata bekas kerani sambilan di RCMO itu.
Ayah Nazliza adalah pesakit buah pinggang sejak tahun 1995 dan perlu juga menjalani dialisis sebanyak 3 kali seminggu.
Sementara itu, bagi penderma Muhammad Syahdad Naquiyuddin Hadi, hari ini merupakan hari bersejarah buatnya kerana buat pertama kali dalam hidupnya beliau menderma darah.
“Perasaan saya sedikit takut untuk menderma, akan tetapi demi untuk membantu buat yang memerlukan, saya menguatkan semangat saya dan alhamdullillah semuanya berjalan lancar,” jelasnya.
Bagi Muhd Farid Mirza Muhd Zulkurnine dan Loh Shean Min pula, pengalaman menderma darah hari ini untuk membantu pesakit yang memerlukan bekalan darah ini dianggap suatu yang mulia dan sebagai mahasiswa, ini adalah suatu perkara yang patut dicontohi oleh mahasiswa lain demi keprihatinan.
Pesakit juga adalah ayah angkat kepada staf RCMO USM Noor Adnie Binti Bajuri.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 747