USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NOVELIS TERKENAL ANTARA PELAJAR BAHARU RPJJ

IMG 7400oub

USM, PULAU PINANG, 9 Ogos 2016 – Minatnya dalam bidang penulisan sastera sejak dari muda lagi mendorongnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama dalam mendalami ilmu pengetahuannya dalam bidang yang berkaitan.

Demikian jelas novelis terkenal, Amelia Hashim, 64, salah seorang pelajar baharu pengajian jarak jauh Universiti Sains Malaysia (USM) yang ditemui selepas Majlis Sambutan Siswa dan Upacara Ikrar Pelajar Baharu RPJJ Program Siswa Lestari, Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) di sini hari ini.

Anak kelahiran Yan, Kedah ini mahu membuktikan bahawa faktor usia bukan penghalang baginya untuk menuntut ilmu, apatah lagi dengan minatnya yang mendalam terhadap penulisan sastera  sejak di bangku sekolah.

“Saya mengambil keputusan untuk belajar di USM bagi menimba ilmu pengetahuan yang diharapkan dapat membantu meningkatkan taraf pendidikan serta mendalami lagi bidang sastera yang merupakan minat saya sejak dahulu lagi,” jelas ibu kepada tiga orang anak ini.

Beliau yang telah menulis pelbagai jenis genre penulisan seperti cerpen, skrip majalah televisyen serta novel-novel sastera yang terkenal seperti Kininanru, Opera Nyonya Cantik, Mimpi Laila, Puteri Zakiah dan lain-lain lagi.

Amelia yang juga merupakan pesara wartawan di Warta Darulaman akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera yang menjadi pilihannya kerana berkait rapat dengan minatnya dalam penulisan sastera.

IMG 7396jb

“Pada tahun 1983, saya pernah mengikuti Sijil Penulisan Kreatif juga di USM selama setahun sebelum ditawarkan kerja sebagai wartawan di Warta Darulaman selama 25 tahun dan pencen pada 2012,” tambahnya lagi.

Amelia merupakan salah seorang daripada 1,418 orang dipilih untuk mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan, Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, Ijazah Sarjana Muda Sains dan Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun ini.

USM yang mula menawarkan RPJJ pada tahun 1971 sehingga kini telah menghasilkan hampir 22,000 orang siswazah sejak 1976.

Teks: Syuhada Abd Aziz

Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1198

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024