USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KENALI UNIVERSITI SUPAYA LEBIH MENYAYANGI USM -NC

IMG 7338gfh

USM PULAU PINANG, 9 ogos 2016 – Para pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) disarankan supaya mengambil masa dan berusaha untuk mengenali dengan lebih mendalam mengenai universiti ini.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, warga USM harus mengambil tahu tentang latar belakang, penubuhan dan misi dan visi sesebuah universiti agar dengan cara ini pelajar akan merasa lebih dekat dan menyayangi universiti selari dengan ungkapan ‘Kami Sayang USM’.

“Cubalah juga berusaha memahami sistem pengajian yang membezakan USM daripada universiti lain dan mengetahui serta menghargai USM adalah universiti sains pertama di negara kita namum dalam masa yang sama tetap menobatkan pengajian Sastera, Pengurusan dan Kemasyarakatan,” katanya.

IMG 7352thj

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 1,400 pelajar baharu program rancangan pengajian jarak jauh (RPJJ) kemasukan sidang 2015/2016 di sini hari ini.

Turut hadir ke Majlis Sambutan Siswa & Upacara Ikrar Pelajar Baharu RPJJ itu ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor serta pegawai-pegawai utama Universiti.

Omar juga berkata, USM kini telah memasuki fasa baharu dengan berpandukan dokumen penting USM APEX 2020 sebagai usaha kolektif warga USM mencorakkan masa hadapan negara dengan menjadikan pendidikan tinggi mekanisme untuk mencapai kejayaan.

“USM meletakkan hasrat yang besar terhadap para pelajar untuk menjadikan mereka HEBAT iaitu akronim kepada Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinker.

“Berusahalah untuk memahami falsafah ilmu serta sentiasa bertanya untuk mendalaminya. Jadikan perpustakaan dan dunia maya sebagai medan mencari sebanyak mungkin maklumat dan tidak menyalahgunakan kemudahan yang ada termasuk termasuk media sosial,” tambah Omar.

Jelasnya lagi, para pelajar RPJJ harus berbangga kerana USM merupakan universiti pertama di negara ini yang menawarkan pengajian jarak jauh atau dahulunya dikenali sebagai pengajian luar kampus yang telah berjaya melahirkan seramai 21,856 graduan dalam pelbagai bidang sejak penubuhannya pada tahun 1971.

IMG 7319cv

“Dalam usia 45 tahun ini, USM telah melalui pelbagai inovasi dalam perkembangan pengajaran dan pembelajaran dan terus mengorak langkah lebih jauh dengan penawaran pengajian secara persisir di luar negara bermula tahun lalu di Medan, Indonesia.

“Selain itu, USM juga lebih berfokus dengan menjayakan program Science@Alor Setar di Kedah dengan penawaran program sains dalam membangunkan bakat yang ada,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak jauh, Profesor Madya Dr. Mustafa Fadzil Farid Wajidi pula berkata, seiring dengan perkembangan semasa, PPPJJ tekad berusaha dalam meneruskan kecemerlangan dan tampil dinamik.

“PPPJJ akan memastikan RPJJ USM terus berusaha memantapkan sistem pendidikan melalui penstrukturan semula sistem kelas intensif supaya pelajar RPJJ tidak perlu lagi berada di USM dalam jangka masa yang panjang dan hanya perlu berada di USM pada masa-masa tertentu sahaja,” katanya.

Tambahnya lagi, situasi ini boleh memudahkan khususnya para pelajar yang berada di luar Pulau Pinang.

IMG 7374df

Seramai 1,418 orang dipilih untuk mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan, Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan, Ijazah Sarjana Muda Sains dan Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun ini. USM yang mula menawarkan RPJJ pada tahun 1971, sehingga kini telah menghasilkan hampir 22,000 orang siswazah sejak 1976.

Teks: Syuhada Abd Aziz

Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1105

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024