USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM JELAJAH myUSM 2016 BANTU PELAJAR UPSR, PT3, SPM DAN STPM DI TERENGGANU

 IMG 20160809 WA0018

HULU TERENGGANU, 8 Ogos 2016 - Program Jelajah myUSM 2016 ‘Siri Cemerlang Peperiksaan & Persediaan Masuk Universiti’ adalah program bagi meningkatkan prestasi akademik para pelajar di negeri Terengganu melalui aktiviti merangsang motivasi belajar dan kemahiran belajar para pelajar yang terlibat.

Menurut Penyelaras Program, Mohamad Basri Mohd Saad, program ini merupakan salah satu sumbangan Universiti Sains Malaysia (USM) kepada komuniti dan masyarakat kerana melalui program ini, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM dapat mengambil inisiatif turun padang ke sekolah-sekolah yang terpilih dan membantu pihak sekolah membina ‘mood’ pelajar dengan persediaan yang bersesuaian menjelang peperiksaan penting khususnya UPSR, PT3, SPM & STPM.

“Konsep program ini memberi fokus kepada sesi bersemuka antara pensyarah dan mahasiswa USM dengan pelajar di sekolah-sekolah terpilih dan perkongsian meliputi tiga aspek penting iaitu motivasi belajar, kemahiran belajar dan persediaan peperiksaan,” katanya.

Tambahnya, fokus pengisian program ini adalah tentang resipi kejayaan seorang pelajar sekolah sehingga bergelar mahasiswa dan program ini bertemakan ‘Dari Sekolah ke Universiti’ yang bertujuan untuk memberi kefahaman secara langsung kepada pelajar tentang peluang mereka melakar kejayaan terutama melalui peperiksaan yang mereka hadapi pada tahun 2016.

“Sesuai dengan nama program, pasukan myUSM menjelajah dari satu daerah ke satu daerah di seluruh Negeri Terengganu yang diketuai oleh pensyarah kanan PPIP USM Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah, yang merupakan penyelaras program motivasi myUSM serta dibantu oleh pelajar-pelajar USM lain yang sedang bercuti semester dari pelbagai latar belakang pengajian,” jelasnya lagi.

Antara sekolah yang terlibat adalah Kolej Tingkatan 6 Hulu Terengganu, SMK Durian Mas, SMK Ibrahim Fikri, SMK Kuala Telemong, Pusat Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Terengganu Daerah Besut; Sekolah Menengah Sains Setiu, SMK Tengku Ibrahim Setiu, SK Kg. Chabang Kerteh, SK Kuala Berang dan beberapa buah sekolah di daerah Besut.

IMG 20160809 WA0019

Program ini bermula pada 1 Ogos 2016 dan dijangka tamat pada 11 Ogos 2016 dan pasukan myUSM dijangka menghabiskan masa selama sehari di setiap daerah bagi bertemu pelajar secara bersemuka dan dijangka manfaat kepada 2,500 orang peserta yang terlibat dapat direalisasikan.

Sementara itu, bagi Syed Mohamad pula, peluang ini diyakini dapat membina motivasi intrinsik dalam diri pelajar melalui interaksi mereka dalam kelompok-kelompok kecil yang dibantu booklet myUSM yang disediakan serta kehadiran warga USM bukan sahaja memberikan imej yang positif malahan dapat menjalinkan kerjasama yang lebih erat antara pihak pusat pengajian dan sekolah-sekolah terpilih.

Ujarnya lagi, kepakaran pensyarah dan mahasiswa USM juga dilihat bukan sahaja berlegar dalam kalangan kampus universiti tetapi juga dapat dikongsikan secara tepat bersama masyarakat di luar kampus.

Program merupakan satu inisiatif daripada USM melalui Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), Persatuan Ilmu Pendidikan (PIP) dan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah & Mohamad Basri Mohd Saad / Foto: Mohamad Basri Mohd Saad

  • Created on .
  • Hits: 1523

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024