USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KESIHATAN LELAKI PENTING UNTUK KEHARMONIAN RUMAH TANGGA

IMG 20160808 WA0023

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Ogos 2016 - Bidang kesihatan seksual dan reproduktif kaum lelaki semakin berkembang ketika ini dengan trend permasalahan dan kepentingannya yang semakin meningkat.

Ketua Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, antara masalah melibatkan kaum lelaki adalah disfungsi ereksi, ejakulasi pramatang, sindrom kekurangan hormon testosteron, infertiliti, kanser testis dan prostat serta hiperplasia prostatik benign.

Katanya, masalah kesihatan lelaki perlu diberi perhatian oleh semua lapisan masyarakat untuk memastikan keharmonian dalam sesebuah rumah tangga berkekalan.

“Perasaan malu harus diketepikan dalam memastikan tahap kesihatan diri sentiasa berada keadaan yang baik.

“Permasalahan utama dalam kesihatan kaum lelaki adalah disfungsi ereksi (DE) atau 'mati pucuk' yang merujuk kepada keadaan apabila zakar tidak berupaya menegang selepas mendapat ransangan seks yang jika tidak dirawat misalnya akan mengganggu hubungan suami isteri,” kata Shaiful Bahari ketika menyampaikan syarahan umum pelantikan profesor yang bertajuk 'Kesihatan Lelaki Di Malaysia - Perkembangan, Isu & Cabaran' yang berlangsung di Dewan Utama pagi tadi.

Jelasnya lagi, masalah disfungsi ereksi ini penting untuk dirawat dan biasanya ia mempunyai kaitan dengan penyakit lain yang tidak diketahui sebelum ini.

"Banyak kajian telah menunjukkan bahawa disfungsi ereksi mungkin merupakan petunjuk awal bahawa seseorang lelaki itu mungkin menghadapi masalah serangan jantung (kardiovaskular), diabetes (diabetes mellitus), tekanan darah tinggi (hypertension) dan paras kolestrol darah yang tinggi (hyperlipidaemia).

"Ini kerana ramai pesakit didiagnosis menghidapi penyakit kronik tersebut setelah mengadu berkenaan masalah disfungsi ereksi," katanya.

Menerangkan lebih lanjut, beliau berkata disfungsi terbahagi kepada dua iaitu organik dan psikogenik. Disfungsi organik berlaku ketika usia lebih daripada 40 tahun dan ianya boleh disebabkan oleh faktor seperti kerosakan saraf atau saluran membekalkan darah kepada zakar, pembedahan pelvis, ketidakseimbangan hormon serta komplikasi ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor.

Manakala disfungsi psikogenik pula berlaku kepada setiap lelaki dalam sepanjang hidupnya namun begitu fungsi ereksinya tidak rosak secara fizikal tetapi tidak mendapat ereksi dalam keadaan tertentu disebabkan keadaan seperti penat, tertekan, pengambilan alkohol berlebihan dan mempunyai masalah dalam perhubungan.

Beliau turut menyentuh tentang masalah ejakulasi pramatang yang didefinisikan sebagai satu keadaan lelaki yang terlalu cepat memancutkan air maninya serta tidak dapat mengawal ejakulasi tersebut. "Dianggarkan 35 hingga 40 peratus lelaki yang mendapatkan rawatan bagi masalah seksual menghadapi ejakulasi pramatang, malah ada yang begitu serius iaitu belum sempat memulakan hubungan kelamin tetapi sudah mendapat ejakulasi," ujarnya.

Dr Shaiful menjelaskan bahawa pengaruh psikologi boleh mengakibatkan ejakulasi pramatang seperti mahu cepat menamatkan hubungan kelamin kerana bimbang perlakuan tersebut terbongkar, situasi atau tempat yang tidak sesuai selain seks terlarang dengan pasangan yang tidak sah.

IMG 20160808 WA0024

"Tahap hormon tertentu dan sensitiviti berlebihan pada alat sulit menjadi faktor biologi yang mempengaruhi ejakulasi pramatang dan dalam keadaan tertentu ia menganggu proses ejakulasi seperti perubahan kelenjar prostat, arteriosklerosis, diabetes dan gangguan neurologi selain turut dikaitkan dengan penyakit tiroid," ujar beliau lagi.

Menurutnya lagi, Malaysia kini telah berada di landasan yang baik dalam sistem kesihatan termasuklah penjagaan kesihatan lelaki. Dengan perancangan rapi dan memberi fokus kepada kesihatan lelaki sebagai agenda penting kesihatan akan menjadikan masyarakat bakal menikmati kehidupan yang sihat selaras dengan status negara maju. 

Hampir 500 orang hadir mendengar syarahan itu terdiri daripada tetamu kehormat, staf kampus kesihatan, kaum keluarga dan sahabat handai.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa Dan Pustaka, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Penolong Naib Canselor merangkap Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr. Abdul Aziz Abdul Latif; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM merangkap Pengerusi Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim; dekan-dekan, pengarah-pengarah dan ketua-ketua jabatan.

Teks: Mohd Hafiz Yaacob / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 977

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024