USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM JANGKA AMBIL 3,700 ORANG PELAJAR IKUTI PENGAJIAN DI USM 28 OGOS INI

IMG 20160808 WA0008

USM, PULAU PINANG, 8 Ogos 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) dijangka mengambil masuk seramai kira-kira 3,700 orang pelajar untuk mengikuti pelbagai kursus pengajian pada peringkat ijazah pertama sepenuh masa untuk Sidang Akademik 2016/2017 yang akan mendaftar diri pada 28 Ogos ini.

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, kira-kira 20,300 orang memohon masuk ke USM pada tahun ini dan pemilihan telah dibuat dengan teliti untuk memilih mereka yang berkelayakan untuk mengikuti pengajian di semua kampus USM.

“Pengambilan ini juga turut mengambil kira agenda University Social Responsibility (USR) negara dengan memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk mengikuti pengajian termasuk juga Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Melalui agenda yang sama, USM turut memberi peluang kepada pelajar dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk meningkatkan integrasi nasional dengan mengikuti pengajian di USM,” kata Naib Canselor USM itu lagi.

Beliau berkata demikian selepas melawat persediaan yang dibuat oleh Seksyen Pengambilan Pelajar di Aras 2, Bangunan Canselori, USM untuk pengumuman kemasukan ke USM pada hari ini mulai jam 12.00 tengah hari secara atas talian.

Para pemohon boleh berbuat demikian serentak dengan hebahan UPU. Semua pelajar yang mendapat tawaran USM diwajibkan membuat pengesahan menerima/menolak tawaran melalui laman web USM di https://pohon.usm.my dalam tempoh yang ditetapkan iaitu pada 8 – 14 Ogos 2016 sebelum jam 12.00 tengah malam.

Menurut Omar, calon yang mendapat tawaran berganda di USM, UM dan IPTA lain disarankan supaya hanya memilih satu IPTA sahaja, iaitu USM Universiti APEX sebagai destinasi utama pengajian di peringkat Ijazah Pertama.

Calon yang berjaya mendapat tempat dinasihatkan merujuk kepada surat tawaran dan buku panduan siswa baharu yang boleh dimuat turun di laman sesawang https://pohon.usm.my  dan dicetak untuk maklumat lanjut sebagai persediaan untuk mendaftar.

Calon yang gagal mendapat tempat di USM boleh membuat rayuan melalui Aplikasi E-Rayuan yang dibuka mulai 8 Ogos 2016 di laman web yang sama.

Hanya calon yang telah memohon dan gagal mendapat sebarang tawaran ke USM sahaja dibenarkan mengemukakan rayuan (pilihan 2 program sahaja) melalui laman sesawang https://pohon.usm.my dalam tempoh 7 hari selepas keputusan rasmi diumumkan.

Rayuan bagi program temuduga hanya dibenarkan kepada calon yang telah hadir sesi temuduga program yang dipohon sahaja. Tarikh tutup permohonan E-Rayuan ialah pada 14 Ogos 2016 jam 12.00 tengah malam.

Menurut Omar lagi, calon yang telah mendapat tawaran di mana-mana Universiti Awam tidak boleh mengemukakan rayuannya ke USM.

Untuk kemudahan pemohon, USM menyediakan perkhidmatan Hotline serta e-mel untuk sebarang pertanyaan melalui Talian toll free: 1 300 888 876, Talian terus :04-6533196, Emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. serta Perkhidmatan Pusat di  Seksyen Pengambilan Pelajar di Aras 2, Bangunan Canselori, USM Pulau Pinang yang beroperasi pada hari dan waktu bekerja rasmi iaitu Isnin - Jumaat, jam 8.10 pagi - 5.10 petang.

  • Created on .
  • Hits: 2049

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024