USM JOHAN DAN NAIB JOHAN TEATER PENDEK PERTANDINGAN PENGISAHAN KENEGARAAN 2016 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG
PULAU PINANG, 7 Ogos 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) telah menghantar dua pasukan untuk pertandingan peringkat Pengisahan Kenegaraan 2016 peringkat negeri hari ini dan kedua-kedua pasukan merangkul Johan dan Naib Johan untuk pertandingan tersebut.
Menurut Pengarah teater yang juga Pegawai Kebudayaan Dewan Budaya USM, Ahmad Hashim, johan dimenangi oleh pasukan USM Barat Daya yang mengangkat naskhah Tok Janggut: Sejarah Yang Tak Akan Tenggelam manakala naib johan dirangkul oleh pasukan USM Timur Laut melalui naskhah Leftenan Adnan: Di Mana Bumi Dipijak.
"Walaupun hanya dua hari diambil untuk berlatih, pelajar-pelajar USM yang terlibat memperlihatkan semangat dan komitmen yang tinggi untuk menjayakan dan memberi yang terbaik untuk teater ini.
"Teater-teater ini ingin mengetengahkan semangat patriotisme kepada para penonton sempena menghayati bulan kemerdekaan dan pada tahun 2014 lalu, USM menjadi johan negeri dan kebangsaan menerusi Pengisahan Kenegaraan Mat Kilau: Sejarah Yang Hadir di Pentas Ini, diikuti 2015, Johan peringkat negeri dan Naib Johan Peringkat Kebangsaan," kata pengkarya bagi kedua-dua pengisahan ini.
Tambahnya, kemenangan ini adalah hadiah untuk Pusat Pengajian Seni, Dewan Budaya dan seluruh warga USM, dan pelajar-pelajar terlibat adalah kombinasi pelajar dari bidang seni lakon dan pengarahan, sains sosial/ekonomi, pendidikan (Tesol) dan ilmu kemanusiaan (kesusasteraan).
Johan menerima wang tunai RM3,000, sijil penghargaan dan trofi manakala naib johan menerima wang tunai RM2,000, sijil penyertaan dan trofi.
Selaku johan, teater Tok Janggut akan mewakili Pulau Pinang untuk pertandingan peringkat kebangsaan di Melaka pada bulan Oktober nanti.
Teater ini disertai oleh pasukan-pasukan dari lima daerah di Pulau Pinang dan tempat ketiga dirangkul oleh pasukan teater dari IPG Tengku Bainun.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Ahmad Hashim (Senibayan)
- Created on .
- Hits: 1317