USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR NIK HAZLINA KUPAS PENTINGNYA WANITA JAGA KESIHATAN DI AWAL USIA

untitlederytr

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Ogos 2016 - Peningkatan bilangan warga tua yang tidak diimbangi dengan bilangan penduduk muda dan dewasa mencetuskan pelbagai cabaran bagi persekitaran ekonomi dan sosial sesebuah negara. Masalah penuaan ini bukan sahaja menjadi satu kebimbangan kepada pihak kerajaan dan pembuat dasar semata-mata, ia turut mengundang kebimbangan dalam kalangan mereka yang berusia berikutan beberapa cabaran yang perlu mereka tempuhi dalam mengharungi kehidupan pada usia emas.

Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain berkata, persediaan perlu dibuat sewaktu sihat dan di kala muda lagi sebelum segala-galanya mungkin sudah terlambat.

“Menopaus merupakan kenyataan hidup bagi setiap wanita yang dilahirkan, namun setiap orang mempunyai pengalaman yang berbeza ketika melalui waktu ini kerana menopaus menandakan berakhirnya tahun-tahun seorang wanita berkeupayaan untuk hamil dan bermula babak baharu dalam kehidupannya.

“Wanita yang telah mencapai umur 50 tahun pada hari ini mungkin akan terus hidup untuk 30 tahun akan datang atau lebih. Namun, ketika itu status dan aktiviti hariannya mungkin sudah berubah berbanding sebelum ini,” katanya ketika menyampaikan syarahan yang bertajuk 'Kesihatan Wanita Di Malaysia - Perkembangan, Isu dan Cabaran' dalam Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang berlangsung di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, hari ini.

untitledBG

Nik Hazlina yang juga Pakar Obstetrik Dan Ginekologi berkata, tumpuan utama wanita selepas menopaus adalah untuk kekal sihat seboleh yang mungkin kerana keadaan ini menentukan kebebasan seorang wanita apabila usia semakin meningkat.

“Tahun-tahun selepas menopaus perlu dinikmati dengan mempunyai kesihatan yang baik kerana kekurangan maklumat dan kewujudan pelbagai teori tidak tepat menyebabkan ramai wanita mempunyai persepsi yang negatif terhadap menopaus.

“Perubahan fisiologi dan biologi yang dialami sering dikaitkan sebagai faktor yang mendedahkan wanita kepada ancaman kesihatan dan hal ini boleh dilihat daripada pertambahan jumlah wanita yang mengalami masalah osteoporosis, obesiti, diabetes, penyakit jantung dan pelbagai jenis penyakit kanser,” jelasnya lagi.

Tambah Nik Hazlina, walau apa jenis penyakit sekalipun, prinsip paling penting yang perlu diketahui semua individu bagi mengelakkan penyakit berisiko adalah melalui kaedah mencegah sebelum parah dan mengawal apabila disahkan menghidapnya.

“Usia kita akan tetap meningkat dari setahun ke setahun dan mencecah ke usia emas sekiranya ditakdirkan berusia panjang dan kita juga tidak dapat lari dari realiti kehidupan iaitu setiap yang muda akan menjadi tua, setiap yang bernyawa pasti mati dan setiap yang sihat pasti akan sakit.

“Berapa juga usia kita biarlah kita menjalani kehidupan ini dengan tahap kesihatan yang baik dan lebih berkualiti,” ujarnya.

untitledFDGFG

Hampir 500 orang hadir mendengar syarahan tersebut terdiri daripada tetamu kehormat, staf kampus kesihatan, kaum keluarga dan sahabat handai profesor yang diraikan.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa Dan Pustaka, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Penolong Naib Canselor merangkap Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr. Abdul Aziz Abdul Latif; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM merangkap Pengerusi Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim; dekan-dekan, pengarah-pengarah dan ketua-ketua jabatan USM.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 1038

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024