USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PELOPORI PENULISAN BUKU ILMIAH AKADEMIK

untitledkk

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Ogos 2016 – “Universiti Sains Malaysia (USM) mempelopori penulisan buku-buku ilmiah akademik apabila berjaya menghasilkan lebih 60 buah buku termasuk novel yang ditulis oleh pakar perubatan USM,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa Dan Pustaka, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran.

Menurutnya, pakar perubatan USM berjaya membuktikan kemampuan dan kebolehan mereka selain dari merawat pesakit, juga berjaya mencoretkan kembali kepakaran yang dimiliki.

“Mereka yang menulis ini memiliki hasrat yang sangat murni iaitu ingin memberi input dan pengetahuan kepada masyarakat umum tentang sesuatu penyakit selain membuktikan mereka juga masih lagi mempunyai masa untuk menulis walaupun sibuk dengan tugas seharian.

“Mereka juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk mengolah tulisan dalam Bahasa Melayu walaupun hakikatnya kita semua maklum bahawa doktor-doktor lebih arif dalam Bahasa Inggeris yang banyak digunakan dalam pertuturan dan tugas harian,” jelasnya selepas melancarkan buku ‘Masalah Seksual Lelaki Dalam Kesejahteraan Suami Isteri’ sempena Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, di sini.

Tambah Abang Salehuddin, pegawai perubatan USM juga berjaya mendisiplinkan diri mereka dengan baik untuk membahagikan masa dalam menghasilkan sesebuah buku kerana mereka ini bukan berasal dari orang Sastera.

untitledghk

“Orang-orang Sains ini sebenarnya lebih kreatif daripada orang Sastera apabila menulis kerana mereka menulis berdasarkan pengalaman yang dilalui sendiri dalam kerjaya mereka,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal pula menyatakan bahawa pihak Pengurusan USM sangat menggalakkan dan menyokong semua pihak untuk terus menulis dan menghasilkan buku-buku ilmiah.

“Profesor dan pakar perubatan boleh menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk mempamerkan kegiatan mereka dalam bidang penyelidikan dan bakat yang merupakan kepakaran mereka.

kelantan12

“USM sentiasa menggalakkan semua pakar perubatan untuk menghasilkan buku sebagai salah satu tanggungjawab sosial untuk memberi pemahaman yang lebih jelas kepada masyarakat umum,” jelasnya.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penolong Naib Canselor merangkap Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr Mafauzy Mohamed; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr. Abdul Aziz Abdul Latif; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM merangkap Pengerusi Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim; dekan-dekan, pengarah-pengarah dan ketua-ketua jabatan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood

  • Created on .
  • Hits: 744

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024