USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KONVENSYEN KUMPULAN INOVATIF DAN KREATIF (KIK) UNIVERSITI AWAM DAN KONVENSYEN TEAM EXCELLENCE WILAYAH UTARA 2016

IMG 20160805 WA0002

PULAU PINANG, 4 Ogos 2016 – Kumpulan Galaksi R3 dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) telah dinobatkan sebagai Naib Johan Kategori Teknikal Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Universiti Awam 2016 yang berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 3-4 Ogos 2016.

USM pada tahun ini telah menghantar 3 Kumpulan KIK iaitu Beyond Rehab dari Hospital USM, Kumpulan KIK Galaksi R3 dari IPPT USM dan Kumpulan KIK New Comers dari Pusat Sejahtera USM.

Ketiga-tiganya berjaya mendapat emas iaitu Kumpulan Galaksi R-3 menghasilkan Medi-Bike Exerciser yang merupakan alat senaman gabungan untuk anggota atas dan anggota bawah supaya aktiviti senaman boleh dijalankan serentak yang mesra pengguna, mudah alih, mampu milik dan telah diperakui selamat digunakan terhadap pesakit dan pengguna lain.

Ketua Kumpulan Galaksi R-3, Muhammad Akasyah berkata, dengan terciptanya alat ini, masa rawatan berjaya dikurangkan dengan mengekalkan kualiti rawatan yang sama, lebih ramai pesakit dapat menjalani rawatan, pemulihan yang lebih cepat.

"Strukturnya yang ringkas serta boleh dilaras mengikut kedudukan dan ketinggian pesakit bukan sahaja dapat memberikan keselesaan kepada pesakit tetapi juga dapat mengekalkan postur tubuh badan yang ergonomik," jelas Muhammad Akasyah.

USM juga menghantar 2 kumpulan KIK USM menyertai Konvensyen Team Excellence Wilayah Utara yang dianjurkan oleh MPC.

13895335 1210559748974456 5943644488550649651 n

Kumpulan tersebut adalah Creative Thinkers dari Pusat Sejahtera USM dan Kumpulan KIK Fast dari IPPT. Kedua-dua kumpulan tersebut telah mendapat Emas. Konvensyen ini telah diadakan di Langkawi, Kedah.

Ketua Kumpulan Creative Thinkers, Puan Nor Baya Musa memanjatkan kesyukuran di atas  kejayaan ini hasil usaha keras ahli-ahli kumpulan.

"Creative Thinkers telah menghasilkan Aplikasi My MediCord dan antara impak daripada inovasi ini adalah penjimatan kos pembelian kad pemantauan tekanan darah sebanyak RM232.40 setahun.

"Penjimatan kos pencetakan kertas laporan makmal sebanyak RM25,164.00 setahun, kos pembaziran ubat antibiotik yang menyebabkan alahan kepada pesakit dapat dielakkan sebanyak RM118,080.00 setahun dan penjimatan masa rawatan untuk seorang pesakit sebanyak 88 minit," jelasnya.

Manakala inovasi yang dihasilkan oleh Kumpulan KIK Fast dari IPPT adalah drip sensor utk mengesan kehabisan infusi intravena dan memantau kuantiti cecair yang masuk ke dalam badan pesakit dilengkapi dengan buzzer dan akan berbunyi di unit pesakit atau ‘nurse call system’. Hasil inovasi ini dapat mengurangkan kos sebanyak RM7,490.00/unit.

Teks: Mohd Fahme Zainal Abidin

  • Created on .
  • Hits: 1120

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024