USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SUKUM 2016: ATLET USM KOMITED KEKALKAN KEJUARAAN

 DSC2696gfh

USM, PULAU PINANG, 4 Ogos 2016 –  Seramai 80 orang atlet daripada pelbagai lapangan sukan akan membawa nama Universiti Sains Malaysia (USM) ke Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM 2016) yang bermula dari 7 hingga 13 Ogos di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Negeri Sembilan.

Pengarah Sumber Manusia USM, Dr. Musa Ali dalam ucapannya sempena majlis penyerahan bendera kepada kontingen USM mengingatkan atlet yang mengambil bahagian supaya menjaga disiplin diri serta mempamerkan semangat juang kesukanan yang tinggi.

“Dengan kekuatan yang atlet USM ada kini mampu untuk meraih pingat dalam setiap kategori yang disertai dan semoga sasaran pingat emas dalam beberapa sukan yang kita juarai tahun lalu dapat dikekalkan,” kata Musa.

 DSC2598

Tambahnya, USM akan terus mengekalkan kejuaraan yang diraih pada SUKUM tahun lalu melalui persiapan latihan yang secukupnya oleh para atlet.

“Di samping itu juga, SUKUM ini dilihat sebagai satu platform untuk para atlet mengeratkan silaturrahim dalam kalangan staf dan juga bersama-sama staf dari Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang lain,” jelasnya.

SUKUM boleh diklasifikasikan sebagai ‘riadah elit’ kerana selain objektifnya bertanding bagi mengharumkan nama universiti, terdapat atlet yang mempunyai pengalaman luas termasuk yang pernah mewakili negara.

 DSC2719

Kontingen USM akan mengambil bahagian dalam tujuh jenis sukan iaitu olahraga, bola sepak, ping pong, tenpin boling, bola jaring, bola tampar dan lumba basikal.

Yang turut hadir ialah Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM Muhamad bin Mohd Hanif.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 948

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024