USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKASA PROGRAM KELESTARIAN AIR DOMESTIK NEGARA

 DSC2448hjk

PERMATANG PAUH, 3 Ogos 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan usaha melestarikan sumber alam sekitar dengan melaksanakan Bengkel Komuniti Saya Prihatin Air Peringkat Kebangsaan (BKSPAK) zon utara baru-baru ini.

Bertemakan 'Pengurusan Air Domestik Bijak dan Lestari' bengkel ini diadakan untuk mengetengahkan pelbagai modul bagi meningkatkan kesedaran mengenai penjimatan air secara optimum dan terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Latihan dan Penerangan Awam UNESI-IHP Malaysia, Prof. Madya Dr. Nabsiah Abdul Wahid berkata, program ini mengkhususkan peranan komuniti dalam pengurusan sumber air supaya menjadi kesinambungan kehidupan di muka bumi kini dan masa akan datang.

 DSC2365gfj

"Kerjasama USM, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) berjaya menjalankan bengkel peringkat kebangsaan ini demi memastikan kelangsungan pengurusan air yang baik untuk masa hadapan," katanya.

Tambahnya, pengurusan bengkel selama dua hari ini turut mendapat kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Pauh Jaya yang menyalurkan 30 orang pelajar serta ibu bapa bagi mempelajari teori dan praktikal kelestarian air.

"Program ini dirangka untuk meliputi dua aspek utama, pertama diseminasi maklumat tentang sumber air dan kepentingannya (teori) dan keduanya aplikasi praktikal tentang kaedah murah dan mudah yang boleh digunapakai oleh peserta mengelak pembaziran air."

Prof. Madya Dr. Nabsiah Abdul Wahid juga merupakan Pensyarah di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan USM.

 DSC2330gfj

Turut hadir, Timbalan Pengarah, Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Hj. Juhaimi Jusoh; Wakil Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Roslinda Mat Musa; Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Pauh Jaya, Zainal Abidin Yaacob dan Pengerusi Bersama Bengkel Kami Prihatin Air Kebangsaan 2016, Prof. Ismail Abustan.

Selain itu, Prof. Ismail Abustan berkata pendekatan modul yang digunakan sepanjang bengkel meliputi bidang pengurusan sumber air secara bersepadu yang terpilih sahaja.

"Peserta, guru dan ibu bapa dapat mempelajari proses kitaran air, peranan air, manusia dan kehidupan, keselamatan air, air bumi dan lain-lain yang cukup membantu negara dalam penjimatan air domestik."

Katanya lagi, bengkel ini akan dilebarkan sayap ke sekolah-sekolah zon utara dan zon yang lain bagi memastikan kita sebagai pengguna sentiasa menghargai kemudahan air untuk hidupan muka bumi.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1130

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024