USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LIBAT SAMA KOMUNITI PENTING UNTUK UNIVERSITI KEKAL RELEVAN

IMG 20160803 WA0023

SURABAYA, INDONESIA, 3 Ogos 2016 - Demi memastikan kelangsungannya dalam pembangunan masyarakat, universiti perlu bergerak dalam kerangka libat sama komuniti sebagai satu gerakan global yang menyeluruh.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, dalam usaha untuk terus relevan, universiti hari ini bukan sahaja perlu menjana dan memajukan ilmu pemgetahuan baharu, tetapi juga memastikan dapat diterapkan, mempunyai impak dan mempunyai nilai ekonomi yang berguna untuk masyarakat.

“Banyak universiti telah memperkukuhkan semula pembangunan institusi dengan masyarakat melalui terma libat sama kesarjanaan.

“Dengan sumber kepakaran dan fasiliti, teknologi yang ditambahbaik, keperluan untuk berkongsi penyelesaian masalah dan isu yang kompleks serta tadbir urus pengurusan yang baik, projek-projek ekonomi dan persekitaran, kesemuanya ditransformasikan untuk kebolehupayaan gerakan bersama secara holistik dalam melakukan perubahan masyarakat,” jelas Omar.

IMG 20160803 WA0020

Beliau menyampaikan ucap utama bertajuk University Community Engangement as a Global Movement dalam International Conference on University-Community Engagement yang bermula di sini malam tadi. Persidangan disertai oleh 350 orang peserta dari India, Canada, Malaysia, United Kingdom dan Indonesia.

Menurut Omar, jika kita percaya bahawa universiti ditubuhkan untuk menjadikan hari esok yang lebih baik, maka adalah sangat perlu untuk menjadi contoh yang menunjukkan komitmen, minat, tanggungjawab dan perkhidmatan dengan melihat semula peranan dan kaedah penjanaan ilmu di universiti serta kemahiran yang diperlukan untuk membangunkan generasi masa hadapan yang sangat penting dan kritikal.

Beliau memberikan tiga objektif strategik yang perlu dicapai iaitu mengintegrasikan semua bentuk libat sama komuniti dalam nexus pengajaran, pembelajaran, dan aktiviti penyelidikan; kedua dengan mewujud, melaksana, memantau dan menilai kualiti kelestarian hubungan kerjasama dengan komuniti dalam sektor perkhidmatan yang bersesuaian untuk menghasilkan penambahbaikan  berterusan dalam kualiti hidup mahu pun swadaya komuniti yang terlibat dan yang ketiga memupuk dan mengukuhkan usaha inovasi dalam inisiatif libat sama komuniti.

“Selaras dengan perubahan pesat yang berlaku dalam ekonomi, sosial dan budaya, adalah penting untuk kita mencari pendekatan baharu untuk masa hadapan yang boleh dilakukan secara inovatif dan inklusif serta berkesan dalam libat sama komuniti,” tegas Omar.

Beliau mencadangkan agar satu gerakan global diwujudkan untuk tujuan tersebut yang merentasi kepelbagaian yang ada sebagai satu kolaborasi pintar melibatkan universiti-universiti seluruh dunia.

IMG 20160803 WA0021

“Mengambil contoh kejayaan Asia-Pacific University Community Engagement Network (APUCEN) yang diterajui oleh USM, usaha ini perlu diperluaskan lagi sebagai kaedah pengukuhan hubungan institusi pendidikan tinggi  yang menjayakan aktiviti libat sama komuniti.

“Integrasi di antara penyelidikan, pengajaran dan perkhidmatan melalui libat sama komuniti memperluaskan lagi ekosistem dan epistemologi ilmu serta memfokuskan kepada penjanaan ilmu dan kemahiran yang penting dalam agenda perubahan masyarakat,” kata Omar.

Tambahnya, kejayaan libat sama komuniti universiti-universiti seluruh dunia yang menjangkau lebih daripada imej menara gading dengan memanfaatkan penyelidikan, pengajaran dan perkhidmatan sebagai satu kerjasama dan kolaborasi yang bersifat global melibatkan kepakaran dan amalan baik melalui pelbagai rangkaian dan  jaringan kerjasama merentasi wilayah ditunjukkan oleh the Latin American Center for Service-Learning, the Ma’an Arab Universities Alliance for Civic Engagement, the South African Higher Education Community Engagement Forum, Engagement Australia, Campus Engage in Ireland , Campus Compact in the USA dan APUCEN.

“Yang penting ialah kemampuan kita untuk menterjemahkan semua usaha ini kepada proses pemindahan ilmu dengan sasaran untuk berusaha menghadapi isu-isu masyarakat yang ada yang melibatkan semua pemegang taruh dan aliran maklumat yang dapat dimanfaatkan pembangunan dan swadaya komuniti, yang tentunya dapat dilakukan secara mapan melalui kerjasama strategik dalam libat sama yang dapat memperkasa bakat dan kemahiran yang perlu melalui ilmu pengetahuan demi kelangsungan masa hadapan yang lebih baik untuk umat manusia seluruhnya,” kata Omar.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Tuan Syed Yusof Syed Kechik

  • Created on .
  • Hits: 1000

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024