USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAPAT TAJAAN PERALATAN MAKMAL BERNILAI RM50,000

IMG 0301g

PULAU PINANG, 24 Mac 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) menerima tajaan peralatan makmal khas dari pengeluar terkemuka berasal dari Jerman, IKA Works (Asia) Sdn. Bhd. (IKA) bagi mengukuhkan hasil penyelidikan saintis tempatan, sekaligus membantu memacu bidang penyelidikan USM ke tahap tertinggi.

Tajaan berbentuk alatan penyelidikan itu disumbangkan secara khusus kepada Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad, ahli akademik berpengaruh dan terkenal dengan kajian-kajian dalam bidang sains polimer, rawatan air kumbahan dan teknologi pengasingan membran.

IMG 0323h

IMG 0326h

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata sumbangan bernilai kira-kira RM50,000 itu membolehkan Latif dan pasukan penyelidiknya memantapkan kajian-kajian dan analisis dalam bidang yang diterokai.

Katanya, tajaan itu turut memberi wadah baru dalam usaha USM berkolaborasi di peringkat antarabangsa, selain boleh dicontohi oleh pihak-pihak lain bagi memberi impak kepada kualiti dan pencapaian para penyelidik di USM.

IMG 0354h

``Kolaborasi unik di peringkat antarabangsa itu akan diperluaskan kepada penawaran latihan industri kepada para pelajar dan mereka juga berpeluang diambil menjadi kakitangan IKA.

``IKA mempunyai lebih 1,000 pekerja di seluruh dunia dan telah menghasilkan pelbagai rekabentuk alat yang digunakan secara meluas bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global,’’ katanya sambil menzahirkan rasa kagum dengan pencapaian organisasi tersebut.

Dalam pada itu, Latif, 47, akademia berpengalaman merangkap Mantan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM telah mengecap pelbagai kejayaan mengagumkan baik di peringkat tempatan mahupun di persada antarabangsa.

IMG 0358h

Beliau telah tersenarai dalam Thomson Reuters sebagai World’s Best and Brightest Scientific Minds - The World’s Most Influential Scientific Minds: 2014  dan turut mencipta sejarah menjadi penerima Anugerah Merdeka bagi tahun 2014.

Pengarah Urusan Lab/Ana IKA® Works (Asia) Sdn Bhd, Tobias Aman pula berkata, pihaknya sentiasa mencari peluang untuk berkolaborasi dengan para akademia dan memberi sokongan dalam pembangunan penyelidikan di seluruh dunia.

Katanya, sumbangan signifikan Latif selaku seorang sarjana dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam sains polimer, rawatan air kumbahan dan teknologi pengasingan membran melayakkan beliau terpilih untuk mendapat tajaan berkenaan.

IMG 0381h

``IKA teruja dengan kolaborasi ini dan berharap ia menjadi penyuntik semangat untuk beliau mengukuhkan penyelidikannya, sekaligus dapat memacu USM ke peringkat lebih tinggi dalam agenda pembangunan penyelidikan,’’ katanya. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa 

 

  • Created on .
  • Hits: 1457

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024