USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PASUKAN KEBUDAYAAN USM RANGKUL "THE BEST CULTURAL ACADEMIC PRESENTATION" DI KARNIVAL VARSITI IMT-GT KALI KE-18"

13879370 1124928104234888 1931155249078474589 n

SONGKHLA, THAILAND, 31 Julai 2016 - 17 pelajar dari ahli kumpulan Adikarma Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya merangkul "The Best Cultural Academic Presentation" di Karnival Varsiti IMT-GT yang berlangsung di Rajamangala University of Technology Srivijaya, Songkhla, Thailand.

Menurut Pegawai Kebudayaan Kanan USM Zulkifli Che Hussin, pembentangan tentang Hari Gawai di Sarawak oleh para pelajar Adikarma ini telah berjaya menambat hati penonton dan mendapat undian tertinggi sebagai pembentangan terbaik oleh para peserta yang lain.

"Setiap tahun, kumpulan Adikarma ini tidak pernah mengecewakan USM dan semangat yang ditunjukkan oleh ahli yang pulang ke kampus untuk berlatih walaupun semasa cuti amat berbaloi dengan memperolehi anugerah ini," katanya yang membimbing kumpulan ini.

Oleh yang demikian, pasukan USM telah dianugerahkan "The Best Cultural Academic Presentation" pada malam penutup Karnival dan anugerah telah disampaikan oleh Presiden IMT-GT Varsity Council Prof. Dato' Dr. Adnan Hussein juga merupakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM.

13907171 1124928067568225 9215984885822169301 n

Zulkifli juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak universiti yang membuka banyak peluang kepada kumpulan ini untuk terus melebarkan sayapnya serta memartabatkan kebudayaan di peringkat universiti ke seluruh persada dunia.

Turut membimbing kumpulan ini adalah Pegawai Kebudayaan Muhamad Al Hafiz Md Sani yang berada di Karnival ini.

Kumpulan kesenian ini bernaung di bawah Unit Kebudayaan dan Kesenian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM dan telah ditubuhkan semula selepas mengalami penjenamaan semula (rebranding) pada 15 Mei 2010 dan disuntik nafas baru dalam semua aspek pergerakan dan prinsip asas kumpulan termasuk organisasi utama.

Dipecahkan kepada 3 sektor utama iaitu tari, lakon dan pengurusan acara serta beberapa pecahan unit lain bagi memastikan kumpulan ini kekal aktif, produktif dan berjaya, kini Adikarma telah secara rasmi diisytiharkan sebagai kumpulan kebudayaan USM.

Terdahulu Presiden IMT-GT Varsity Council Prof. Dato' Dr. Adnan Hussein merasmikan pembukaan karnival pada 26 Julai 2016.

Adnan berkata, karnival ini telah menonjol sebagai contoh bagaimana acara sukan, kebudayaan dan seminar telah menggalakkan interaksi dalam kalangan pelajar dalam kepelbagaian budaya dan etnik.

"Saya dengan ikhlas berharap agar karnival ini akan berterusan pada tahun mendatang dalam merangsang ikatan persahabatan, pembinaan jaringan kerjasama dan pemahaman dalam kalangan pelajar secara jangka panjang," jelasnya.

Seramai 1,200 peserta, pegawai dan pelatih terlibat dalam karnival yang berlangsung kali ini dari 25 hingga 31 Julai 2016.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Zulkifli Che Hussin

  • Created on .
  • Hits: 869

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024