USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

‘MY MEDICORD’ BANTU MUDAHKAN SIMPANAN REKOD PROFIL PESAKIT

IMG 4369df

USM, PULAU PINANG, 28 Julai 2016 – Ciptaan aplikasi mudah alih ‘My MediCord’, oleh Kumpulan Creative Thinkers daripada Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) telah dinobatkan sebagai juara bagi kategori Pengurusan dalam Konvensyen Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) USM 2016.

Aplikasi ini dicipta setelah kumpulan ini melakukan kaji selidik dan mendapati kesukaran pesakit mengemukakan maklumat kesihatan peribadi ketika mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Pusat Sejahtera USM dan terpaksa menunggu giliran dan menghabiskan masa yang lama untuk dirawat.

Menurut ketua kumpulannya, Siti Nurbaya Musa, idea untuk membangunkan satu sistem aplikasi Android  bermula apabila pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan gagal untuk membawa laporan kesihatan sehingga menyukarkan pihaknya untuk memberikan rawatan yang efektif kepada pesakit.

“Dengan adanya sistem aplikasi ini, memudahkan kerja kami untuk mengesan jenis ubat-ubatan yang biasa digunakan oleh pesakit, rekod pembedahan dan kekerapan rawatan yang diterima oleh pesakit juga dapat diakses dengan hanya menggunakan aplikasi ini,” katanya yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Pusat Sejahtera USM.

Tambahnya aplikasi ini bertindak sebagai diari peribadi pesakit yang boleh menyimpan rekod sejarah perubatan.

Harapannya supaya aplikasi ini dapat dikembangkan bukan hanya di Pusat Sejahtera USM, tetapi digunakan di Hospital USM dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM dengan penambahbaikan yang lebih canggih.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai bernilai RM300 serta piala pusingan dan piala iringan serta akan mewakili USM dalam Konvensyen KIK Wilayah Utara yang akan diadakan di Langkawi pada bulan Ogos akan datang.

Penganjuran Konvensyen KIK 2016 ini merupakan penanda aras dan pelantar bagi menyemarakkan lagi budaya inovasi dalam kalangan warga kampus secara keseluruhan serta membantu memupuk kreativiti dan inovasi bagi membangunkan potensi individu secara holistik dan bersepadu.

Hadiah disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman. Hadir sama dalam majlis tersebut Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM, Profesor Dr. Kamarulazizi Ibrahim.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 909

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024