USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENSYARAH USM DIDIK PELAJAR FAHAMI ISU GEJALA SOSIAL

IMG 20160803 WA0062

PASIR MAS, KELANTAN, 28 Julai 2016 - Masalah gejala sosial sering mendatangkan kebimbangan kepada banyak pihak terutama ibu bapa.

Menurut Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Azriani Berahim @ Ab. Rahman, sebagai seorang perempuan, perasaan ingin berpasangan semakin memuncak ketika berada di alam remaja dan sekiranya perasaan ini tidak dikawal atau dibendung sudah tentu akan membawa kepada masalah sosial.

"Isu seperti remaja terlibat dalam aktiviti seks bebas misalnya berlaku disebabkan sesetengahnya terlibat dalam percintaan sehingga melakukan hubungan seks di luar nikah demi cinta sejati.

"Remaja lelaki dan perempuan masa kini menghadapi masalah sosial seperti pergaulan bebas, anak luar nikah, zina dan sebagainya," katanya ketika menyampaikan ceramah di Program Remaja Sihat dan Bebas Tibi anjuran Kelab Jaringan Inovasi Perubatan Masyarakat (INCOME) di Sekolah Menengah Tengku Panglima Raja, Pasir Mas hari ini.

Menurut Azriani, para pelajar yang hadir ke program tersebut didedahkan mengenai kesan yang timbul ekoran daripada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

"Antara kesan yang paling dibimbangi ialah terjadinya seks bebas dan perzinaan antara golongan ini sehingga melahirkan anak-anak luar nikah.

"Perkara yang paling menyayat hati adalah apabila terpampangnya berita berkaitan pembuangan dan pengguguran bayi yang semakin berleluasa di dada-dada akhbar dan di kaca televisyen," jelasnya lagi.

Azriani berkata, hal tersebut berlaku berkemungkinan akibat perasaan malu atau tiada rasa belas kasihan dan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada bayi berkenaan.

Pensyarah Perubatan, Jabatan Ortopedik, PPSP, Dr. Muhamad Syahrul Fitri Zawawi pula berkata, dalam permasalahan sosial sekarang seperti isu pembuangan bayi yang semakin meruncing, masyarakat terus menyalahkan pihak wanita yang kononnya lemah, mudah terpedaya dan sebagainya.

"Kita sering terlupa bahawa isu ini bukan hanya berpunca dari sebelah pihak sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.

"Kita sering melupakan bahawa kelahiran yang sepatutnya suci murni turut tercemar oleh "ayah" yang tidak bertanggungjawab," jelasnya.

Muhamad Syahrul mengajak para peserta merenung kembali peranan lelaki terhadap wanita seperti yang dianjurkan agama.

Soal Muhamad Syahrul, adakah hari ini lelaki benar-benar berperanan sebagai pemimpin dan adakah wanita menjalankan peranan sebagai orang yang dipimpin apatah lagi lelaki diberi amanah besar untuk menjadi pemimpin dan pelindung wanita.

"Allah telah memberi kepercayaan pada lelaki untuk memikul amanah itu kerana beberapa kelebihan yang Allah berikan pada lelaki tidak ada pada perempuan," katanya lagi.

Muhamad Syahrul turut menyimpulkan bahawa pergaulan bebas dalam kalangan remaja kini banyak memberi keburukan berbanding kebaikan.

"Usaha yang komprehensif dan proaktif untuk membanteras pergaulan bebas ini boleh direalisasikan seandainya ada penggemblengan tenaga dalam kalangan ahli masyarakat.

"Oleh hal yang demikian, semua pihak terutamanya ibu bapa, sekolah malah kerajaan sendiri perlulah mengambil inisiatif yang sesuai bagi mengatasi masalah ini," tambahnya.

Teks: Shazleen Hashim / Foto: Wan Salizawati Wan Ismail

  • Created on .
  • Hits: 1007

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024