USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PPSP USM KEKALKAN PERSIJILAN MQA

untitledkvghj

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Julai 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan universiti pertama negara ini yang menawarkan sistem kredit secara total kepada pelajar perubatan.

“Dengan adanya sistem kredit ini, para pelajar dapat melihat dengan jelas jumlah kredit yang dikumpulkan bagi memenuhi subjek yang ditawarkan.

“Penggunaan sistem kredit ini akan memudahkan mobiliti pelajar perubatan di antara institusi pengajian dalam dan luar negara yang menjadi hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi,” kata Timbalan Dekan Akademik Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Mohd Suhaimi Ab. Wahab.

Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM berjaya mengekalkan persijilan  ‘Malaysian Qualification Agency’ (MQA) selepas lawatan pemantauan yang dibuat oleh panel akreditasi MQA pada 19 dan 20 Julai lalu.

Menurut Mohd Suhaimi, panel MQA  membuat lawatan pemantauan baru-baru ini bagi melihat persediaan PPSP dalam aktiviti pembelajaran bagi sesi akademik 2016/2017 apabila kumpulan pertama pelajar kurikulum baharu kursus Doktor Perubatan akan memulakan pembelajaran klinikal mereka.

“Lawatan ini juga untuk melihat langkah-langkah PPSP menyelesaikan 18 ‘areas of concern’ yang tersenarai semasa lawatan akreditasi mereka pada tahun 2013.

“Dalam lawatan tersebut, tiga orang panel  berpuas hati dengan 18 ‘areas of concern’ setelah melihat dokumen-dokumen yang membuktikan langkah-langkah penyelesaian perkara-perkara tersebut telah diambil tindakan,” katanya.

Mohd Suhaimi berkata,  PPSP telah membentangkan kurikulum baharu Kursus Doktor Perubatan kepada panel MQA tentang perlaksanaan Fasa Satu sepanjang dua sesi akademik yang lepas dan juga persediaan yang telah dan sedang dibuat untuk melaksanakan Fasa Dua.

“Panel MQA berpuas hati dan berkeyakinan bahawa PPSP akan berjaya melaksanakan kurikulum baharu ini dengan jayanya.

“Oleh kerana pada sesi akademik akan datang terdapat pertindihan pelajar kurikulum baharu dan lama dalam pembelajaran klinikal, beban akademik pensyarah klinikal dianggarkan meningkat sebanyak 50 peratus,” ujarnya lagi.

Menurut Mohd Suhaimi, PPSP telah dan sedang membuat perancangan rapi agar peningkatan beban tugas pensyarah ini dapat diminimumkan dengan semangat kerjasama dan keikhlasan yang tersemat di hati kakitangan PPSP yang dapat diatasi dengan baik.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Siti Nur Syamimi Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 1579

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024