USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENDEPANI CABARAN DAN LANDSKAP PENDIDIKAN ERA TEKNOLOGI ABAD KE-21

 DSC2199hbh

USM, PULAU PINANG, 26 Julai 2016 - Para pendidik perlu bersedia menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21 dengan lanskap teknologi yang cepat berubah dan generasi Z yang berbeza ilmu dan sikapnya.

Demikian ujar Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Dato' Dr. Omar Osman dalam Seminar Profesionalisme Menghadapi Cabaran Pendidikan Abad Ke-21 iaitu Program Naib Canselor USM bersama semua Pengetua / Guru Besar Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah (PPDSPT).

Katanya, cabaran dalam era teknologi kini melibatkan perkara-perkara seperti maklumat yang banyak, cara menangani maklumat yang salah, sumber-sumber yang tidak boleh dipercayai dan juga terlalu berpusatkan kepada mesin dan juga media sosial.

"Pendidik perlu mentransformasikan bidang pendidikan dalam landskap teknologi kini melalui cara belajar menggunakan teknologi-teknologi terkini, berada selangkah kehadapan dalam arus perubahan, belajar untuk selesa dan yakin dalam menggunakan teknologi masa kini dan juga berada ke arah memberi tumpuan kepada pembangunan karakter generasi kini," tambahnya ketika menyampaikan ucaptama kepada 200 pendidik dan pegawai dari PPDSPT di Dewan Kuliah A USM hari ini.

 DSC2215ghjh

Jelasnya lagi, manfaat yang diperolehi dalam era teknologi kini adalah lebih akses kepada maklumat, kaya dengan pembelajaran dan sumber, pembelajaran boleh berlaku di mana sahaja dan pada bila-bila masa dan akses kepada pendidikan yang lebih baik.

Kesimpulannya, Omar menjelaskan 4 perkara yang perlu diberi fokus dalam perubahan landskap teknologi kini iaitu pemahaman, ‘be updated’, rekabentuk kurikulum fleksibel dan pembangunan karakter.

Program ini merupakan anjuran USM melalui Pejabat Naib Canselor bersama Pejabat Pendidikan Seberang Perai Tengah Jabatan Pendidikan Negeri.

Di Seberang Perai Tengah Pulau Pinang terdapat 87 buah sekolah yang mengandungi seramai 5,048 orang guru dan 63,856 murid.

 DSC2188hjvh

Yang turut hadir adalah Pegawai Pendidikan Daerah SPT Pauzi Hj Omar yang menyampaikan ucapan penutup program seminar separuh hari ini.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Zamani Abd Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1476

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024