USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TUBUHKAN PUSAT PEMULIHAN DALAM KOMUNITI

1469439853777

KUBANG KERIAN, 25 Julai 2016 - Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) kini menubuhkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dalam kampus di Kampus Kesihatan.

PDK PPSK mula beroperasi sejak 2014 lagi dan bergerak secara sukarela namun kini telah mendapat kelulusan geran sebanyak RM108,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tempoh baki setengah tahun 2016.

PDK merupakan program yang dijalankan oleh JKM untuk penjagaan dan pemulihan anak-anak istimewa atau orang kurang upaya (OKU). Kini terdapat 36 buah Pusat Pemulihan seperti ini di Kelantan.

Pensyarah Kanan Terapi Carakerja merangkap Ketua Projek Transformasi OKU, PPSK, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim berkata PDK USM berbeza sedikit dengan PDK lain kerana dikendalikan oleh ahli akademik.

"Kita menggunakan kepakaran terapi carakerja dan jurupulih-jurupulih perubatan yang terlatih selain menjadi tempat latihan kepada sukarelawan atau guru-guru PDK yang lain dalam berkongsi kepakaran serta pengalaman tentang kaedah pengendalian OKU, implikasi, keperluan mereka dan sebagainya," katanya semasa ditemui di Majlis Suai Kenal peserta PDK yang berlangsung di Min House Camp Kelantan baru-baru ini.

Tambahnya PDK PPSK akan menjadi platform kepada pakar-pakar USM untuk memberi latihan kepada PDK lain sama ada di dalam atau luar Kelantan sebagai peneraju kepada PDK di Malaysia dalam aspek pendidikan.

Selain itu, PDK USM juga menggunakan konsep Transformasi OKU dengan memperkasakan golongan pelatih OKU  untuk menjana pendapatan melalui konsep 'Sheltered Workshop' dan 'Supported Employment'.

Ini menunjukkan yang peranan USM sejajar dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti JKM, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Pertanian dan sebagainya dalam membantu golongan paling terkebawah.

1469439853355

Pengarah Jaringan Industri dan Masyarakat, USM, Syed Yusof Syed Kechik pula berkata, program sebegini amat baik dalam memberi peluang kepada USM untuk bersama-sama dengan masyarakat.

"USM sememangnya mementingkan isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat kurang bernasib baik sebagai aspirasi dalam menyalurkan bantuan dengan cara memindahkan kemahiran dan juga ilmu kepada masyarakat.

"Dengan ini USM bukan sahaja menangani isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat tetapi juga membuka peluang kepada mereka untuk hidup berdikari dan penggunaan model sebegini amat bersesuaian dengan kedudukan USM sebagai sebuah universiti APEX," tegasnya lagi.

Teks: Mohd Hafiz Yaacob / Foto: Abdul Aziz Latif

  • Created on .
  • Hits: 1497

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024