USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, UNIVERSITY OF RUHUNA JALIN KERJASAMA AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN

IMG 6357hj

USM, PULAU PINANG, 21 Julai 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) terus meningkatkan jaringan kerjasama akademik dan penyelidikan di peringkat antarabangsa apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan University Of Ruhuna (UOR), Sri Lanka hari ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, kerjasama itu melibatkan pendidikan tinggi dan penyelidikan bersama serta pertukaran pelajar, pensyarah dan penyelidik yang akan memanfaatkan kedua-dua institusi.

"MoU tersebut menandakan perkembangan penting dalam kejayaan kerjasama antara kedua-dua universiti sejak 2010 dan sejak itu, 64 pelajar dari Sri Lanka telah melanjutkan pengajian di USM.

IMG 6368bk

“Saya berharap dengan MoU ini juga lebih ramai lagi pelajar dari Sri Lanka terutamanya dari UOR akan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah tinggi mereka di USM,” kata Ahmad Shukri mewakili Naib Canselor USM dalam sidang akhbar selepas majlis penandatanganan MoU itu di sini.

Dalam majlis tersebut, USM diwakili oleh Ahmad Shukri manakala UOR oleh Dekan Fakulti Sains Sosial dan Ilmu Kemanusiaannya, Profesor Sumanasiri Wawwage.

Ahmad Shukri juga berharap kerjasama ini akan menjadi titik tolak kepada permulaan pelbagai kolaborasi yang melibatkan perkongsian kepakaran bukan sahaja dalam bidang ilmu kemanusiaan tetapi juga dalam pelbagai bidang kajian lain pada masa hadapan.

“Saya yakin kerjasama ini akan menghasilkan ilmu baharu dan memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua institusi dan negara yang akhirnya akan menyumbang ke arah kesejahteraan umat manusia,” tambah beliau.

Sementara itu, Wawwage berkata beliau amat kagum dengan pencapaian USM di peringkat antarabangsa dan yakin kerjasama ini akan membuahkan hasil khususnya dalam usahasama menganjurkan persidangan, menjalankan penyelidikan dan mengadakan program pertukaran.

IMG 6383hj

“Saya amat gembira kerana UOR dapat menjalin kerjasama peringkat antarabangsa dengan sebuah universiti yang tersohor seperti USM, dan pastinya menerusi perjanjian persefahaman ini akan membuka lembaran baharu bagi hubungan antara kedua-dua institusi,” katanya.

Yang turut hadir ialah Dekan PPIK USM, Profesor Dr. Narimah Samat; Penyelaras Program, Jabatan Geografi UOR, Dr. GPTS Hemakumara; pensyarah PPIK Professor Dr. Chan Ngai Weng; pegawai kedua-dua institusi dan 6 pelajar UOR.

Teks: Tan Ewe Hoe / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1027

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024