USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TRADISI LISAN WARISAN BANGSA PERLU DIPELIHARA DAN DIPERJUANG UNTUK GENERASI AKAN DATANG

 DSC1902hj

USM, PULAU PINANG, 20 Julai 2016 - Arus pesat zaman kini yang lebih berfokus pada media baru menyebabkan sedikit sebanyak tradisi lisan yang dahulunya diperjuang dilupakan dan ditelan arus gelombang global ini.

Demikian kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Prof. Dato' Dr. Adnan Hussein yang mewakili Naib Canselor USM Prof. Dato' Dr. Omar Osman di Majlis Perasmian dan Makan Malam sempena Seminar Tradisi Lisan Serantau.

Jelasnya, seminar ini mampu menggalakkan perkongsian ilmu, idea, kepakaran dan pengalaman yang tidak mungkin diperolehi.

"Tradisi yang menjadi khazanah berharga kepada masyarakat di suatu masa lalu, malah melangkaui Nusantara berkemungkinan akan hilang sekiranya tidak dipulihara atau didokumentasikan sebaik mungkin," tambahnya.

Katanya lagi, pengkaji-pengkaji tradisi lisan perlu terus aktif menjalankan penyelidikan mereka bukan sahaja dalam konteks tradisinya tetapi juga melihat kerelevanan dan fungsi tradisi lisan ini dalam era kontemporari kerana tradisi lisan sememangnya mampu merentasi zaman dan muncul dalam pelbagai bentuk media baru.

 DSC1908gh

Menurut Penasihat Seminar Tradisi Lisan Serantau Prof. Dato' Seri Dr. Md Salleh Yaapar pula, skop tradisi lisan amat besar dan luas di peringkat serantau ini mengikut negara-negara dan berbeza kisah dan tradisi yang dibawa setiap negara.

"Tradisi lisan merentas masa dan negara dan masih wujud hingga ke hari ini dan mengalami transformasi mengikut zaman dan perlu terus terpelihara agar warisan ini tidak lupus ditelan zaman," katanya.

Tambahnya, tradisi lisan yang merangkumi warisan cerita-cerita lisan, tukang cerita atau penglipur lara, persembahan rakyat, ahli seloka dan sebagainya perlu terus kekal menjadi kebanggaan masyarakat di rantau ini.

Salleh juga berharap seminar ini dapat menerokai dan membincangkan perkara berkaitan tradisi lisan dengan sebaiknya dan ilmu yang kaya ini dapat disebarkan ke seluruh pelusuk negara.

Sementara itu, Pengerusi Seminar Tradisi Lisan Serantau Prof. Dr. Jelani Harun pula menegaskan seminar ini adalah platform untuk menghidupkan semula sastera dan tradisi lisan dan kepentingannya di rantau ini dan melihat ada sesetengahnya yang sudah tiada ataupun masih terus terpelihara.

 DSC1921tyty

"Ini adalah warisan bangsa yang perlu dipelihara agar generasi akan datang faham akan tradisi ini malahan generasi muda kini ada yang masih minat akan perkara ini yang perlu terus dibela," beritahunya ketika ditemuramah.

Majlis diserikan dengan persembahan oleh Awang Batil dari Perlis dan persembahan nyanyian seloka dan gurindam oleh Roslan Madun.

Yang turut hadir ialah Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara Prof. Dato' Dr. Teo Kok Seong, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara Abdul Nasir Mohd Razali dan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Prof. Dr. Narimah Samat.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Zamani Abd Rahim

  • Created on .
  • Hits: 3331

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024