USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PDK USM TERIMA GERAN RM108,000

untitledygft copy

KUBANG KERIAN, 20 Julai 2016 - Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kelulusan geran sebanyak RM108,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pengajian Siswazah, PPSK, Profesor Madya Dr. Lim Boon Huat,  pihaknya  berterima kasih kepada JKM kerana memberi kelulusan penubuhan PDK dengan geran operasi tersebut untuk tempoh dari Julai hingga Disember 2016.

"Walaupun dalam keadaan ekonomi sekarang dan banyak peruntukan geran dikurangkan namun kelulusan ini amat bermakna dalam menjalankan aktiviti-aktiviti bagi membantu masyarakat," katanya ketika berucap di Majlis Suai kenal peserta PDK yang berlangsung di Min House Camp hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan terapi cara kerja PPSK yang diketuai oleh  Profesor Madya Dr. Mohamed Saat dan Dr. Zulkifli Abdul Rahim dalam menjayakan projek-projek Transformasi OKU.

"Kerja berpasukan yang erat membolehkan projek-projek transformasi OKU menjadi projek yang lestari dan memberi impak kepada masyarakat dan golongan OKU.

untitledfyu

"Seramai tujuh orang pelatih OKU intelek telah pun berjaya mendapat pekerjaan dan bergaji tetap, serta ada di antara mereka mampu membeli kenderaan untuk kegunaan keluarga di rumah," ujarnya.

Tambahnya, projek ini juga berjaya mentranformasikan OKU dari  liabiliti kepada produktiviti, selain impak kepada aspek psikologi seperti keyakinan diri dan kebolehan berkomunikasi dalam kalangan peserta.

Seramai 31 orang pelatih yang berdaftar dikumpulkan untuk mengikuti orientasi dan aktiviti lasak seperti berkayak serta memanah sebagai pendedahan kepada mereka dalam membina keyakinan diri.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan, Muhammad Hanafi Haji Maulud dan Pengarah Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Syed Yusof Syed Kechik.

Teks: Mohd Hafiz Yaacob / Foto: Abdul Aziz Latif

  • Created on .
  • Hits: 1178

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024