USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KONVENSYEN KIK DORONG WARGA USM BANGUNKAN INOVASI

IMG 4293b jb

USM, PULAU PINANG, 20 Julai 2016 - Penganjuran  Konvensyen Kumpulan Inovasi & Kreatif (KIK) dapat mendorong warga Universiti Sains Malaysia (USM) menghasilkan lebih banyak inovasi dalam mempertingkatkan kualiti, produktiviti dan keberkesanan tugas jabatan masing-masing.

Demikian tegas Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman ketika berucap menutup Konvensyen KIK USM di sini, hari  ini.

Menurut Omar, Konvensyen KIK mempunyai metodologi yang dapat digunakan untuk menghasilkan impak kebolehcapaian setiap Pusat Tanggungjawab melalui penyelesaian kepada masalah-masalah yang timbul dalam melaksanakan proses kerja harian.

“Dengan adanya konvensyen seperti ini,  penemuan  cara  dan  kaedah  baharu  dalam menyelesaikan  masalah-masalah  tersebut  yang  seterusnya  dapat mencetuskan  nilai-nilai  kreativiti  dan  inovasi  yang  turut  menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi universiti," kata Omar.

IMG 4305hk

Tambahnya, dalam merealisasikan matlamat ini, usaha pembudayaan inovasi dan kreativiti perlu dipupuk dan dihayati oleh semua warga USM.

“Seluruh warga Universiti perlu mencari kaedah untuk memasarkan produk-produk yang mempunyai nilai kelestarian yang  mampu meningkatkan perkhidmatan universiti melalui penglibatan  pelbagai  peringkat  jawatan dengan setiap  peserta  diberi  peluang  yang  sama  rata  dalam menyumbangkan  idea  dan  pendapat serta  seterusnya melaksanakan langkah-langkah penyelesaian atau penambahbaikan terhadap proses kerja sedia ada,” jelas Omar.
 
Sementara itu, Pengarah Pusat Sejahtera USM selaku Pengerusi Konvensyen KIK 2016, Dr. Normala Abdul Wahid  berkata,  Konvensyen KIK ini turut menggalakkan persaingan sihat dan meningkatkan penglibatan serta minat seluruh warga USM di dalam penghasilan inovasi.

“Produk dan perkhidmatan yang dihasilkan dapat mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan yang mematuhi kehendak pelanggan,” tambahnya.

IMG 4301gfj

Dr. Normala juga yakin konvensyen ini merupakan satu saluran yang membolehkan warga USM mengemukakan idea dan cadangan ke arah penambahbaikan penyampaian perkhidmatan jabatan masing-masing serta memberi manfaat kepada USM.

Sebanyak empat kumpulan menyertai KIK 2016 kali ini dalam dua kategori utama yang dipertandingkan iaitu Pengurusan dan Teknikal.

Penganjuran Konvensyen KIK 2016 ini merupakan penanda aras dan pelantar bagi menyemarakkan lagi budaya inovasi dalam kalangan warga kampus secara keseluruhan serta membantu memupuk kreativiti dan inovasi bagi membangunkan potensi individu secara holistik dan bersepadu.

Yang hadir sama dalam majlis tersebut Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM, Profesor Dr. Kamarulazizi Ibrahim.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 773

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024