USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

VIDEO GERUDI AIR MENANG PERTANDINGAN VIDEO YOUTUBE BJIM-USM 2015

USM PULAU PINANG, 19 Julai 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Jaringan Industri dan Masyarakat sekali lagi menganjurkan pertandingaan Video Youtube BJIM-USM 2015 yang bertemakan ‘Forging Ties and Enriching Lives’ bermula bulan September 2015.

Menurut Timbalan Naib Canselornya, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pertandingan ini diadakan untuk mengiktiraf mereka yang memberi sumbangan idea memperkasakan komuniti melalui aktiviti, projek dan program libatsama.

“Tema yang dipilih mempamerkan usaha USM yang serius dalam membantu komuniti keluar dari kepompong kedaifan sebagai komitmen berterusan USM terhadap usaha membawa perubahan,” tambahnya.

Jelas Abdul Rahman lagi, pertandingan ini juga merupakan platform untuk mempromosikan libatsama komuniti dan industri secara global melalui video-video yang disiarkan dalam Youtube.

Pertandingan ini  masuk tahun kedua penganjurannya telah mendapat 14 penyertaan, 12 daripadanya adalah dari USM, satu dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan buat julung kalinya terdapat satu penyertaan daripada Trunojoyo Universiti of Madura, Indonesia.

Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM berjaya menarik perhatian juri apabila berjaya menggondol hadiah utama melalui video kreatif  bertajuk ‘Ground Water Well Construction’ yang berdurasi tiga minit menceritakan tentang usaha USM membantu mengurangkan kos bekalan air melalui pengekstrakan air bawah tanah menggunakan lubang gerudi yang dibina di  rumah anak yatim rumah Nurkasih di Ulu Sepetang Taiping, Perak.

Mereka membawa pulang USD750 dan sijil penyertaan.

Sementara itu, sekumpulan pelajar daripada Pusat pengajian Sains Pergigian USM telah berjaya memukau para juri melalui video muzik kreatif yang bertemakan kepentingan pendakap gigi berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan ini.

Menurut ahli kumpulan tersebut, Mohd Affiq Iskandar, 23, video muzik yang bertajuk ‘Braces’ ini menampilkan kelainan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang kesedaran pemakaian pendakap gigi.

“Kami cuba sampaikan kepada masyarakat tentang penggunaan pemakaian pendakap gigi yang dilihat masih kurang diketahui oleh masyarakat umum melalui kelainan yang kami tampilkan secara nyanyian,” jelasnya lagi.

Mereka membawa pulang USD500 serta sijil penyertaan.

Manakala, pelajar dari jurusan Komunikasi Media daripada Trunojoyo Universiti of Madura, Indonesia berjaya memenangi tempat ketiga bagi kategori Video Paling Banyak Ditonton melalui video mereka yang bertajuk ‘Project to Open Access 126 Island in Madura East Java Indonesia’.

Menurut Muhammad Ikhwanul Masruri, 22, walaupun pertandingan ini merupakan pertama kali disertainya, namun kesungguhan untuk menghasilkan video yang menceritakan tentang akses di kepulauan Madura Indonesia telah berjaya mendapat tontonan yang paling tinggi.

Pertandingan ini merupakan satu permulaan kepada kami untuk berusaha menghasilkan video yang lebih baik di masa akan datang,” katanya yang berjaya membawa pulang USD450 dan sijil penyertaan bagi kedua-dua kategori.

Turut disampaikan adalah tujuh hadiah saguhati dan masing-masing menerima hadiah wang tunai USD200 dan sijil penyertaan.

Yang hadir sama dalam majlis tersebut, Pengarah Jaringan Komuniti USM Syed Yusof Syed Kechik.

Teks: Syuhada Abd. Aziz

  • Created on .
  • Hits: 857

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024